Mengambil iktibar daripada insiden yang terjadi kepada pelakon jelita Fasha Sandha, Aeril Zafrel percaya sesi latihan sebelum mulakan penggambaran (rehearsal) adalah penting.

Jelas Aeril, setiap pelakon atau kru perlu cakna dengan keadaan dan kedudukan perabot yang mungkin boleh membahayakan sekiranya tersilap langkah.

"Saya rasa daripada segi pelakon pun mereka dah cuba berhati-hati, siapa nak cedera kan. Tapi nama pun kecelakaan, mungkin salahkan partner, atau mungkin salah diri sendiri?

"Jadi bagi saya rehearsal paling penting. Bagi saya kalau ada berlakon aksi, paling bahaya adalah perabot di sekeliling.

"Kita perlu tahu dan berwaspada dengan peralatan di set penggambaran," ujarnya kepada Gempak.

Aeril ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Aidilfitri Hijabistahub & Soultan Royale di JW Marriot Kuala Lumpur pada Khamis.

Aeril percaya insiden yang berlaku ketika penggambaran tidak disengajakan walaupun melibatkan pelakon yang profesional.

"Apa yang terjadi pada Fasha dan Azhan kita tak tahu salah siapa, mereka kedua-duanya pelakon yang profesional. Mungkin ada kesilapan sikit, tapi itulah.

"Kalau ada insurans pun boleh cover berapa sahaja," tambahnya.

Peminat dikejutkan dengan perkongsian Fasha di Instagram yang cedera ketika melakonkan babak aksi bersama Azhan Rani di set penggambaran drama di Johor pada Khamis.

Insiden itu menyebabkan Fasha retak tulang sebelah mata kiri dan cedera dalam bebola mata hingga perlu dirawat di hospital.