Infiniti Indah Sdn. Bhd. (Infiniti Indah), anak syarikat Hospitality 360 Sdn. Bhd. dan cabang hospitaliti MAA Group Berhad, kembali dengan Pesta Kuantan 188 yang bakal diadakan selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Julai depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Infiniti Indah, Datuk Indera Omar Naresh Mohan berkata, beliau menjangkakan kehadiran sekurang-kurangnya 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari pesta berkenaan dianjurkan.

“Setiap tahun, penduduk tempatan dan pelancong berkumpul untuk melawat Kuantan dan tahun ini, kami menjangkakan sekurang-kurangnya 20,000 pengunjung menghadiri acara ini.

“Festival Pesta Kuantan 188 berlangsung tiga hari dengan penuh keseronokan, acara mesra keluarga yang mengangkat keaslian budaya dan masyarakat Malaysia,” katanya pada majlis sidang media Pesta Kuantan 188 yang berlangsung di Hotel Ramada, Kuala Lumpur hari ini.

Pesta Kuantan 188 akan menampilkan aktiviti keriangan keluarga seperti Perlumbaan Perahu Naga Diraja Pahang, Persembahan Bakat Kuantan 188: Ada Bran?, persembahan kebudayaan oleh Majlis Bandaraya Kuantan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, pertunjukan fesyen, Zumba, gerai runcit dengan barangan buatan tangan dan makanan daripada vendor tempatan, Fun Run serta Fun Ride yang menampilkan larian 5 kilometer bersama trek berbasikal sejauh 35 kilometer.

Konsert percuma bersama artis popular turut dijayakan pada pesta ini. Barisan artis yang bakal menghiburkan penonton termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cakra Khan, Ameng Spring, Aizat Amdan, Aishah Retno, Santesh serta pelakon dan komedian Harith Iskander.

Bertepatan dengan hari keputeraan KDYMM Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj iaitu masing-masing pada 30 Julai 2023 dan 5 Ogos 2023, Kuantan 188 juga akan menganjurkan majlis makan malam tertutup khas satu malam sahaja di menara itu.

Tiket-tiket boleh didapati di ticket.kuantan188.com.my/ms/Booking dan untuk maklumat lanjut mengenai Pesta Kuantan 188, boleh layari Instagram, Facebook dan TikTok untuk kemas kini terkini, serta www.kuantan188.com.my.

Semua pengunjung yang membeli tiket ke Pesta Kuantan 188 dari 17-31 Julai layak mendapat satu penyertaan cabutan bertuah di mana cabutan akan diumumkan pada penghujung konsert pada 31 Julai 2023.

BACA: Siti Nurhaliza, Amy Search, Dolla & Lebih 40 Artis Gamatkan Festival Muzik KEPCI 2023!

BACA: "Nasib Baik Dia Tak Upload Benda Tak Patut" - Siti Nurhaliza Bagi Aafiyah Pegang Telefon Bila...