Hiburan
Siti Nurhaliza Semakin Seronok Berniaga, Keluar Koleksi Baju Raya
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza mengakui semakin seronok berniaga dan mahu memperluaskan lagi empayar perniagaannya.
“Saya mengaku semakin seronok berbisnes dan ingin mengembangkan lagi perniagaan saya ini di masa hadapan.
“Pada saya, sesiapapun jika ingin berjaya perlu gigih berusaha. Saya sendiri bukan jenis individu yang melakukan perkara tanpa usaha gigih.
“Insha-Allah apabila kita semakin memajukan perniagaan diusahakan, ia juga membuka pintu rezeki kepada orang lain. Asalkan niat kita baik, semuanya akan dipermudahkan,” katanya.
Yang terbaru selepas memperkenalkan jenama Creacion by Siti Nurhaliza pada Mac lalu, Siti tampil dengan koleksi Creacion Sesuci Lebaran 2016 untuk digayakan pada Syawal nanti.
“Alhamdulillah, selepas memperkenalkan Creacion beberapa bulan lalu, kami tampil pula dengan koleksi raya yang lebih segar, ringkas dan sesuai digayakan pada hari raya nanti.
“Saya juga teruja kerana dapat berkongsi minat fesyen bersama peminat untuk hari lebaran dan berharap koleksi Creacion Sesuci Lebaran dapat memenuhi permintaan pelanggan.
“Harganya juga berpatutan iaitu bermula dari RM180 dan ke atas. Sesiapa yang gemarkan busana ready-to-wear yang mempunyai sentuhan ekslusif, Creacion adalah pilihan tepat.
“Creacion Sesuci Lebaran 2016 mempunyai dua koleksi istimewa iaitu The Pastel Series dan The Premium Series,” katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen Creación Sesuci Lebaran 2016 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menariknya , Creación by Siti Nurhaliza merupakan ilham sepenuhnya oleh wanita berusia 37 tahun itu sebagai pengasas Creación bersama pereka jenama tersebut.
“Untuk kesemua koleksi Sesuci Lebaran ini saya terlibat secara keseluruhan bermula daripada proses rekaan, pemilihan fabrik hingga pengeluaran dan pembuatan.
“Busana Aidilfitiri saya juga dinamakan sempena judul lagu yang dinyanyikan saya sendiri,” katanya yang juga pengasas kosmetik SimplySiti.
Dalam perkembangan lain, Siti bakal tampil dengan lagu raya terbaru berjudul Hari Kemenangan sempena lebaran ini.
Must-Watch Video