Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tiada kuasa untuk menyekat secara langsung klip video raya oleh usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut hanya boleh dilakukan apabila mendapat perintah mahkamah.

"Kalau kita sekat dahulu, orang boleh saman kita. Kalau mahu sekat, perlu berdasarkan kepada undang-undang.

“Kementerian tidak boleh sekat. Yang boleh buat keputusan sekat adalah mahkamah. Kementerian hanya melaksana.

"Kalau menteri boleh sekat. Saya hari-hari ada benda nak sekat. Tapi kena ikut undang-undang. Dia ada kaedah,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa bersama media pada Selasa.

BACA: "Jangan Salahkan Isteri Dan Bonda Saya" - Isu Muzik Video Raya, Aliff Syukri Mohon Maaf

Tambah beliau, sekiranya sesuatu perkara tersebut tidak dapat dibuktikan menyalahi undang-undang, tiada tindakan yang akan diambil.

“Hanya kalau melanggar undang-undang, baru akan ada tindakan yang boleh dibuat. Kalau tiada, kita tidak boleh buat sesuatu atas dasar ikut suka,” ujarnya.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai isu tersebut, beliau tidak memberi sebarang ulasan kerana akan dianggap prejudis terhadap penyiasatan.

Sinar Harian