“Soal Keselesaan Letak Tepi Dulu” - Bakal Sertai Misi Ke Syria, Anuar Zain Tak Kisah Sekiranya Terpaksa…
Bakal menjejakkan kaki ke Syria menerusi misi kemanusiaan, penyanyi popular, Anuar Zain bersyukur apabila hasrat dan niatnya itu mendapat restu daripada ibu bapanya.
Menurut Anuar, dengan doa serta restu ibu bapa itu, dia kini lebih yakin dengan segala tindak-tanduk yang bakal diambilnya.
"Keluarga saya tidak mempunyai sebarang masalah. Apa-apa yang menggembirakan saya, mereka menyokong dan bersetuju.
“Soal keselamatan dan keselesaan kita letak tepi, apa yang penting adalah kelancaran misi kemanusiaan ini.
“Saya tidak mahu menitiskan air mata ketika melihat anak-anak kecil yang ditindas, cuma tidak dapat menjangka apabila berada di sana nanti," katanya.
Jelas Anuar, Pengerusi Syria Care ustazah Siti Sakinah memaklumkan kepadanya di sana nanti mereka mungkin akan tidur di hotel, menumpang rumah orang dan sebagainya.
"Saya tak kisah bab itu. Bagi saya, soal keselesaan letak tepi dulu.
“Pengalaman yang bakal ditimba itu adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak dapat ditukar dengan wang ringgit.
"Saya dijangka berangkat 11 April selama lapan hari yang mana misi bakal bermula di Turki sebelum ke Syria dan Lubnan.
“Teruja rasanya hendak berpuasa selama 17 jam yang mana pengalaman itu adalah sesuatu yang baru buat saya,” katanya.
Anuar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0 dan kerjasama syarikat pengurusannya, Anuar Zain Network di pejabat Syria Care, Shah Alam, baru-baru ini.
Sekadar info, Syria Care mensasarkan dana sebanyak RM225,000 bagi membantu lebih kurang 1,000 keluarga di negara bergolak berkenaan.
Orang ramai yang ingin menyumbang khususnya menaja set iftar serendah RM15 atau pek makanan kering bernilai RM150 boleh berbuat demikian melalui pautan khas Anuar Zain iaitu donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/anuarzain.