Bagai mengubati kerinduan peminat, kumpulan Senario yang kini bergelar Senariounion bakal membuat kemunculan khas menerusi sebuah filem terbaru.

Perkara itu disahkan oleh seorang daripada ahli kumpulannya, Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff.

Menurut Apek, filem yang masih dirahsiakan tajuk itu bakal mendapat sentuhan ‘keramat’ pengarah tersohor Aziz M Osman.

Menurutnya, mereka sepakat untuk memilih Aziz untuk mengarahkan filem terbaru itu memandangkan dia cukup memahami kehendak dan ‘fitrah’ Senariounion.

“Untuk makluman semua Senariounion merupakan nama branding baru kami, mungkin ada yang tidak sedar atau perasan.

“Kami dah bergerak sejak 2017 menggunakan branding itu.

“Untuk filem pula kami sepakat nak abang Aziz M Osman kerana keserasian dan potensi beliau.

“Abang Aziz betul-betul faham fitrah dan tuntutan kami. Tajuk pun masih dirahsiakan dan penggambaran dijangka bermula hujung tahun ini,” katanya.

A post shared by #SENARIOUNION (@senariounion)

Ditanya apakah kejutan yang bakal ditonjolkan dalam filem terbaru itu nanti, Apek menyatakan dia sangat teruja untuk berkerja dengan sahabat-sahabat lama.

“Ahli Senario sebenarnya ada sembilan orang. Kalau tak cukup semua, mungkin tak teruskan filem ni, harap-harapnya cukuplah itu harapan kami.

“Untuk kejutan pula, rasanya tiada yang boleh diperkatakan lagi. Cuma kejutan secara indirect itu kami ni tak tua sangat lah, kami masih sihat, Alhamdulillah.

“Kejutan mungkin kepada penonton selepas berbelas tahun kan. Mereka mungkin terkejut dalam kerinduan,” katanya.

Difahamkan, filem terbaru anggota Senariounion akan bermula penggambaran Disember ini dan mungkin ditayangkan tahun hadapan.

Apapun tunggu pengumuman rasmi mengenai filem ini akan datang!