Menantu tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tya Arifin mengakui masih terbuka untuk menerima tawaran lakonan selepas melahirkan anak keduanya.

Menurut Tya, suaminya, Asyraf Khalid tidak pernah menghalang dia daripada mengejar cita-citanya namun Tya menjelaskan dia mahu memberi fokus dahulu kepada keluarganya.

"Buat masa sekarang, saya sibuk menguruskan perniagaan jamu Mutyara. Namun, saya tidak pernah tutup hati untuk kembali ke kaca televisyen.

"Kalau ada tawaran yang bersesuaian seperti menjadi juri saya pasti akan mempertimbangkannya. Cuma sekarang, fokus utama adalah keluarga.

"Suami pun tidak pernah menghalang, cuma dia selalu nasihatkan utamakan apa yang penting dahulu iaitu keluarga.

"Kerana bagi saya bukan mudah untuk menerima sebarang tawaran kerana saya perlu melihat skrip dan kesesuaian jadual terlebih dahulu," katanya kepada Gempak.

Tya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Bugaboo Ant bertempat di The Gardens Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Tya turut mngakui pengalaman yang ada apabila dia membesarkan anak sulungnya, Arif banyak membantu dirinya untuk menjaga anak keduanya yang dilahirkan pada bulan Mei lalu.

"Saya rasa lebih berpengalaman dan sudah tahu apa yang ingin dilakukan berkat menguruskan Arif dahulu.

"Boleh dikatakan ilmu keibubapaan yang ada pada saya lebih terancang kali ini untuk menguruskan anak kedua secara lebih teratur," ujarnya.

Tya telah mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Asyraf Khalid pada 1 November 2015.

Menerusi perkongsian hidup, pasangan ini telah dikurniakan dua orang cahaya mata, Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa.