Bintang Gegar Vaganza 2019 (GV2019) Sham Visa mendedahkan dia sudah menerima tawaran berlakon dan bersedia untuk bergelar aktor.

Menurut Sham, sebelum kembali aktif, dia mahu berehat selama enam bulan untuk memastikan kesihatannya benar-benar pulih sebelum kembali membina nama.

“Lakonan atau nyanyian, kedua-duanya bagus. Saya memang dah dapat tawaran berlakon. Untuk drama terbaru saya masih menunggu untuk produksi berikan segala details, mungkin proses penggambaran akan berlangsung sehingga bulan puasa.

“Dalam tempoh berehat itu saya masih lagi aktif tetapi tidaklah terlalu kerap. Ada beberapa produksi sudah memberi pengesahan kepada saya untuk berlakon drama. Malah pihak Astro sendiri sudah lock saya untuk beberapa projek," ujar Sham kepada Gempak.

Sham ditemui selepas membuat persembahan di konsert akhir GV2019 yang diadakan di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Tambah Sham lagi, walaupun menceburkan diri dalam bidang lakonan, nyanyian masih menjadi keutamaannya.

“Saya ada banyak perancangan untuk keluarkan lagu terbaru. Antara yang saya boleh sebut sekarang, saya akan ada lagu sendiri, mungkin akan ada lagu duet bersama Naqiu.

“Saya juga ada bertemu dengan rakan-rakan Visa dan mereka sudah sedia menunggu. Saya terima banyak permintaan merakamkan kembali lagu-lagu hit daripada peminat lama dan baru kumpulan Visa.

“Saya juga ada dapat permintaan daripada peminat untuk berduet sebuah lagu baru bersama Wann. Selain itu, mungkin duet bersama Marsha juga ada dalam perancangan akan datang,” ujarnya lagi.

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia.

GV2019 turut disokong oleh penaja bersama Powercat, Cuckoo dan Uphamol manakala syarikat telekomunikasi Digi pula menjadi telco rasmi.