Berita
Sudah Tiba Masa Saya Pertingkat Amalan Sebelum Mati - Datuk Rosyam Nor
Pelakon Datuk Rosyam Nor akui sudah masanya dia mempertingkatkan amalan sebagai seorang Islam sebagai persediaan sebelum mati.
Rosyam Nor atau Mohamed Noor Shamsuddin, 50, berkata, dia perly membuat persiapan sebelum melangkah ke fasa seterusnya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan ini kerana telah banyak Allah bagi pada saya sehingga tiada apa lagi yang ingin saya minta.
"Tetapi sebagai seorang umat Islam saya harus memperbanyakkan ibadat dan amalan kerana itu adalah bekalan untuk saya di sana nanti.
"Umur saya kini telah memasuki 50 tahun, jadi saya kena banyak buat persediaan untuk melangkah ke fasa seterusnya.
"Namun begitu bukan bererti saya akan meninggalkan bidang seni kerana bagi saya itu merupakan pendapatan untuk keluarga," katanya kepada Astro Gempak.
Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama mini 12 episod Chor & Chah di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Juri tetap Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) ini juga mengakui bahawa dia kini sedang mempelajari bahasa Arab bersama seorang ustaz bagi memahami isi kandungan di dalam Al-Quran.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Must-Watch Video