Pelakon Nelydia Senrose, 24, telah selamat diijabkabulkan dengan seorang ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, 35, pada hari ini (6 April) kira-kira jam 3.28 petang tadi dalam sebuah majlis tertutup.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Rifin dan disaksikan Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd Hamid di sebuah hotel terkemuka tanah air.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11.

Walau bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan.

Anggun mengenakan persalinan rona putih gading rekaan Ezuwan Ismail, Nelydia atau nama lengkapnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen bersyukur segala yang dirancang dalam tempoh singkat sejak awal tahun ini berjalan lancar.

“Alhamdulillah impian, niat serta hajat yang saya harapkan selama ini dipermudahkan.

“Doa saya di Tanah Suci Makkah serta apa yang dihajati juga Allah makbulkan serta beri jawapan pasti termasuk hal jodoh.

"Semoga permulaan fasa ini akan terus mematangkan saya dan dia. Insya-Allah,” katanya.


Pada keesokkan hari, pasangan ini bakal diraikan pada sebelah malam juga di lokasi sama majlis nikah berlangsung.

Jika tiada aral melintang, sebuah majlis keraian akan diadakan di Kelantan musim raya depan.

Nelydia bercinta dengan seorang ahli perniagaan Hafez Halimi sejak April 2018.

Terdahulu, Nelydia pernah bercinta dengan pelakon Qi Razali namun begitu hubungan mereka berakhir pada Ogos 2015.

Foto Ihsan: Instagram @shafiqshahar