Anak kepada Allahyarham Ridzuan Hashim, Muhammad Dhanial agak terkilan apabila bapanya tidak sempat ada bersama di hari pernikahannya yang hanya tinggal dua minggu sahaja lagi.

Dhanial, 29, yang ditemui Gempak memberitahu segala persiapan buat Ridzuan seperti tempahan baju dan tiket penerbangan ke kampung pengantin perempuan di Tawau, Sabah sudah pun diuruskan namun Tuhan telah menjemput bapanya terlebih dahulu.

“Ya segala persiapan sebenarnya sudah pun diuruskan.

“Tapi…tak apalah, dia ‘tengok’ dari jauh…”katanya yang tidak dapat menahan sebak dari terus mengulas mengenainya.

Menurut Dhanial lagi, Allahyarham sempat berjumpa dengan bakal isterinya Cuma terkilan tidak dapat berjumpa dengan keluarga mereka.

“Ayah sempat jumpa bakal menantunya…Cuma belum pernah bertemu keluarga di Tawau, Sabah,” kongsinya lagi.

Dhanial yang merupakan satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga itu bagaimanapun belum cukup puas berbakti kepada bapanya meskipun telah menjaga Ridzuan sejak tiga tahun lalu.

“Itu pun saya rasa belum cukup lagi (menjaga bapanya). Tapi saya tidak tahulah hanya Tuhan sahaja yang mengetahui segalanya,” ujarnya.

Jenazah pelakon Ridzuan Hashim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor selepas solat Magrib.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 1.57 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur selepas menjamah sarapan di kediamannya.

Jenazah kemudian di bawa ke Masjid Al-Muttaqin Batu 16, Dusun Tua Hulu Langat, Selangor kira-kira jam 6 petang untuk disembahyangkan.

Ridzhuan yang popular dengan panggilan ‘King’ dalam filem KL Gangster itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Hulu Langat, Selangor.

Antara rakan artis yang hadir adalah Datuk Yusof Haslam, Fizo Omar, Datin Alyah, Edika Yusof, Eida Moin dan ramai lagi.