“Tak Beli Barang Dapur Ke Sebelum Ni?” - Panic Buying Dah Bermula, Netizen Pertikai Tindakan Orang Ramai
Pelaksanaan Fasa Pertama penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown) yang bakal bermula Selasa depan telah menyebabkan sesetengah rakyat panik.
Ini kerana ada yang didapati membuat pembelian panik di beberapa pasar raya.
Menerusi pemantauan Gempak di media sosial, orang ramai dilihat sudah mula beratur seawal jam 8 pagi untuk membeli kelengkapan rumah.
Menurut seorang pekerja di sebuah pasar raya, jika keadaan bertambah teruk, pemantauan pihak polis mungkin diperlukan bagi memastikan orang ramai terus mematuhi peraturan dan (prosedur operasi standard).
“Pagi tadi keadaan masih terkawal kerana kemasukan telah dihadkan oleh pengurusan.
“Kalau di sini, pasar raya bagi masa 20 minit saja terhad untuk beli barang, Tidak pastilah jika pasar raya yang lain,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui hantaran dalam Facebook, hari ini, memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan adalah mencukupi.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik susulan pelaksanaan Fasa Pertama penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown) bermula Selasa depan.
"Bertenang, jangan panik.
"Patuhilah SOP. Elakkan pembelian panik, bekalan barang keperluan tetap boleh dibeli dan dijamin mencukupi," katanya.
Menerusi platform media sosial pula, netizen ada yang mempertikaikan keperluan untuk membeli barang ketika kes masih tinggi.
Rata-rata mereka mempersoalkan adakah orang ramai tidak faham dengan konsep ‘lockdown’ seperti tahun lalu.
“Kenapa jadi lagi panik buying ni? Korang memang tak beli barang dapur ke sebelum ni”
“Apa nak risau, tahun lepas elok je barang ada dan cukup,”
“Roti beli banyak-banyak buang juga akhirnya kan, macam tak pernah lockdown,” tulis beberapa netizen.
Sekadar info, semalam, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi hingga 14 Jun depan untuk Fasa Pertama di seluruh negara.
Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi, kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).