Pihak polis telah menahan lima lelaki dan tiga wanita yang dikesan terbabit dalam pembikinan satu iklan mempromosi aktiviti perjudian atas talian sempena Hari Raya selepas video dengan durasi dua minit itu tular di laman sosial kelmarin.

Menurut laporan Berita Harian, kesemua mereka berusia antara 24 hingga 47 tahun ditahan semalam dan akan direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata terdahulu pihak polis menahan lima individu yang disyaki berlakon dalam iklan judi sempena Hari Raya ini selepas video promosi perjudian ini tular dalam aplikasi media sosial.

"Sebanyak 38 laporan polis berkaitan video ini dibuat sebelum polis menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 26 tahun yang berlakon dalam iklan berkenaan.

"Kesemua mereka mengaku menerima bayaran untuk berlakon dalam iklan berdurasi 2 minit satu saat itu sebanyak RM180 seorang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, hasil siasatan susulan, polis kemudian menahan tiga lagi individu awal pagi tadi, yang juga adalah ejen artis, jurukamera dan pengarah video berkenaan di sekitar Ampang.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati penggambaran video ini dibuat di Ampang dan Hulu Langat, pada 13 Mac lalu.

"Semua lapan individu terbabit ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Kata Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini usaha mengesan dalang utama di sebalik pembikinan video ini masih diteruskan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit di aan apa jua aktiviti perjudian di negara ini.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh memaklumkan pihak polis.

Video promosi judi sempena Hari Raya ini memaparkan seorang individu yang tidak mempunyai cukup wang untuk berhari raya, terbabit dalam aktiviti perjudian atas talian sehingga memperoleh 'imbuhan' lumayan.