Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) memohon jasa baik kerajaan untuk memberikan kelulusan segera untuk mengadakan penggambaran di luar studio.

Rayuan itu dibuat memandangkan sektor penerbitan filem dan televisyen kini berdepan kerugian besar.

Presidennya, Pansha berkata, lebih 50,000 penggiat seni dalam pelbagai industri kreatif dalam keadaan sengsara untuk meneruskan kehidupan.

“Ini termasuklah seperti freelancer iaitu pengarah, pelakon, pekerja belakang tabir.

"Mereka tidak dapat bayaran kerana kebanyakan penggambaran produksi tempatan melibatkan lokasi di luar studio tertangguh atau tidak dapat disempurnakan.

"Kami merayu demi kelangsungan hidup semua syarikat penerbitan filem dan televisyen yang mengalami kerugian besar untuk menyiapkan produksi yang telah lama tertangguh selain terpaksa menanggung kos bulanan yang semakin meningkat," katanya.

Tambahnya, selain itu, lebih 50 filem tempatan tidak dapat ditayangkan di pawagam semenjak pelaksanaan PKP dan penerbit filem terpaksa menanggung berjuta kerugian dalam pelaburan yang amat besar tanpa bantuan daripada kerajaan.

"Sekali lagi PFM merayu agar pawagam juga dibenarkan untuk beroperasi semula dengan 50 peratus kapasiti tempat duduk bagi setiap dewan merujuk kepada SOP yang telah diluluskan sebelum ini," katanya lagi.

Justeru, PFM berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya agar industri kreatif dapat bernafas kembali sama seperti industri-industri lain di luar sana.

"Kami merayu agar pertimbangan yang sewajarnya dapat diberi seperti industri lain," katanya.