Laman Utama
Tebus Kecewa Gagal AJL36, Ernie & Syamel Syukur Goodbye Hello Menang Lagu Terbaik AIM23!
Pasangan duet lagu Goodbye Hello, Syamel dan Ernie Zakri enggan mengulas isu berkenaan lagu tersebut yang gagal ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) 36 pada tahun lalu.
Bagaimanapun, dengan kejayaan dinobatkan sebagai pemenang Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) ke 23 menerusi lagu sama, pasangan itu berasa syukur kerana dapat menebus kekecewaan mereka terdahulu.
Malah bagi Syamel, dirinya mempercayai kepada rezeki yang sudah ditetapkan Tuhan.
“Kalau nak cerita balik perkara tersebut, kami berdua masih terngiang-ngiang lagi waktu itu apa yang terjadi.
“Bagaimanapun saya tidak layak untuk mempersoalkan mengapa lagu Goodbye Hello gagal untuk berada di anugerah satu lagi (AJL), saya tiada komen, saya hanya percaya kepada rezeki.
“Namun dengan kejayaan pada malam ini, jujur saya sangat terkejut. Ini pertama kali kami berdua menang anugerah bagi kategori lagu terbaik, bahkan saya boleh katakan ini adalah malam yang paling bermakna untuk kami.
“Ketika saya menang tadi terus saya teringat kepada arwah ibu saya yang telah pergi menghadap ilahi,” ujar Syamel.
Syamel dan Ernie ditemui usai mereka menerima anugerah tersebut di acara kemuncak AIM23 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Shah Alam, pada Ahad.
Ditanya mengenai harapan melalui lagu Goodbye Hello yang turut memenangi kategori lagu pop terbaik, ayah kepada Nur Khawla Soleha itu menyatakan mustahil untuk tidak meletakkan sebarang harapan, namun tidak berlebih-lebih.
“Kami datang dengan harapan, tipulah kalau datang tak ingin menang sebarang trofi. Cumanya harapan yang kami pasang tidaklah begitu tinggi supaya tak kecewa kalau tidak berjaya memenanginya.
“Kemenangan ini sebenarnya ada nilai sentimental di sebaliknya, Ernie pernah beritahu saya dia teringin sangat untuk pegang sekurang-kurangnya satu trofi AIM dan alhamdulillah, rezeki berpihak kepada Ernie dan saya malam ini.
“Terima kasih kepada komposer lagu Goodbye Hello yang mana kami rasakan lagu ini sangat istimewa untuk kami, dicipta khas sempena perkahiwnan kami dahulu,” tambahnya.
Kemenangan Syamel dan Ernie Zakri menerusi kategori lagu terbaik turut melayakkan mereka menerima insentif Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM50,000 yang disalurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).
Pada malam berprestij itu, Ernie turut mengungguli kategori persembahan vokal terbaik di dalam lagu (wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati sekaligus menewaskan pencabar lain seperti Aina Abdul, Marsha Milan, Idayu serta Vanessa Reynauld.
Must-Watch Video