Penyanyi yang popular menerusi lagu Selamat Ulang Tahun Sayang, Imran Ajmain tidak tunduk dengan desakan untuk mengubah jalur muzik yang dibawanya agar diterima peminat muzik masa kini.

Terkenal dengan cita rasa dan keunikan muzik tersendiri, Imran tetap teguh dengan pendirian yang dibawanya dan tidak meladeni permintaan semasa.

"Ketetapan muzik sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Jika dahulu, peminat memandang bakat yang lahir dari program realiti nyanyian.

"Kini, mereka yang viral di laman sosial menjadi pilihan. Dari segi muzik pula, pendengar disajikan lagu meleleh sebagai halwa telinga mereka.

"Untuk terus kekal relevan, kadang-kadang saya terfikir, adakah saya perlu muncul dengan lagu meleleh seperti yang dilakukan oleh ramai penyanyi baru?

"Adakah saya perlu tampil dengan lagu yang liriknya harus berkisarkan mengenai putus cinta lalu mati kerana kecewa?

"Akhirnya, saya ketepikan semua itu, saya utuh dengan identiti tersendiri," kata pelantun lagu Jika Engkau Pergi ini.

Imran ditemui usai konsert mini solonya, Imran Ajmain Sepuluh Tahun Pertama yang berlangsung di Studio Recital, Esplanade, Singapura pada Sabtu lalu.

BACA: Imran Ajmain Pukau 300 Penonton Dalam Konsert Mini Penuh Emosi

Tambah penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Seribu Tahun ini, perjalanan seni yang berliku membuatkan dirinya tetap kukuh meredah pelayaran dalam bidang muzik.

"Lebih 10 tahun bertapak dalam bidang nyanyian, saya tak nafikan ada pasang surutnya semenjak saya berkecimpung dalam arena ini.

"Pelbagai pahit manis sudah saya tempuhi, pernah berada diatas, pernah ditipu, pernah bergerak perlahan dan sebagainya.

"Semuanya saya simpan dan kenang sebagai azimat yang bermakna untuk terus melanjutkan perjalanan dalam bidang ini.

"Saya tak akan berhenti berkarya dan terus menyajikan buah tangan berkualiti untuk penggemar muzik saya," katanya.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Zaidi Jupri