Platform wayang secara atas talian, ewayang.com akan menyumbangkan RM1 bagi setiap langganan filem berharga RM15 kepada tabung bantuan Covid-19 bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengurus Projek ewayang.com, DjPool Soul Masters berkata, usaha tersebut dilakukan bagi mengurangkan bebanan ditanggung KKM ketika ini.

“Sedikit sebanyak hasil sumbangan orang ramai itu dapat digunakan untuk membantu KKM. Kami di ewayang.com menyokong teguh usaha kerajaan mengekang pandemik ini.

“Tiket untuk menonton menerusi ewayang.com berharga RM15 dan RM1 akan diambil daripada setiap langganan filem,” katanya kepada Gempak.

Yang terbaru ewayang.com kini sedang menayangkan filem Jengka dan Kisah Paling Gangster serta boleh juga melanggan karya hebat seperti Nota dan Bangunan.

“Banyak lagi filem-filem yang akan menyusul selepas ini dan pastinya sesuai untuk segenap lapisan umur.

"Yang pasti menerusi ewayang kita boleh menonton secara lebih santai dan selamat kerana segalanya hanya dihujung jari," katanya.

Untuk menggalakkan kaki filem menonton, ewayang juga menawarkan hadiah-hadiah istimewa yang keseluruhannya bernilai RM250,000.

"Kami ada hadiah-hadiah sampingan, mingguan dan hadiah untuk langganan yang menanti penonton bertuah.

"Pembeli tiket yang ke-10,000 pula akan memenangi kereta Perodua Bezza,” katanya.

Idea mewujudkan ewayang dicetuskan ketika tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan filem pertama yang ditayankan ialah TyIcKooUnS arahan Izan Hailmey Mokhtar.

Platform ini juga ditubuhkan untuk memberi peluang untuk kaki wayang menonton filem kegemaran mereka tanpa bersesak-sesak serta mengambil risiko terkena jangkitan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, ewayang.com juga dalam perancangan untuk menayangkan filem berbentuk dokumentari.