Golongan rider atau penghantar barang sememangnya antara pihak yang banyak berjasa kepada kita semua dalam mempraktikkan gaya hidup norma baharu.

Lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana mereka inilah antara barisan hadapan yang banyak berkorban masa dan tenaga.

Bahkan, pekerjaan yang mereka lakukan itu sebenarnya cukup berisiko tinggi memandangkan seharian masa mereka banyak dihabiskan di atas jalan raya.

Bagi pelakon Nora Danish, dia terpanggil untuk menyeru agar golongan rider mempunyai satu kesedaran mengenai pentingnya mencarum dengan badan perlindungan keselamatan.

"Saya terfikir yang saya juga perlu kongsikan perkara ini. Kepada rider yang gigih bekerja terutama masa PKP ini, pagi petang siang malam untuk sara kehidupan, jangan lupa membuat caruman okay?

"Kami sayang anda dan anda harus sayangi keluarga anda," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam entri berkenaan, Nora turut berkongsi semula sebuah video khidmat pesanan masyarakat (PSA) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menampilkan pelakon Beto Kusyairy.

A post shared by naOradaishi (@noradanish)


Kata Nora lagi, dia turut bersimpati dengan nasib rider yang sanggup bersusah payah dalam mencari pendapatan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

"Selama ini bila order apa-apa, Kak Ha yang turun ambilkan barang.

"Semalam Nora sendiri turun, tengok kusut masai lunyai dah rider sibuk menghantar barang
sana sini untuk keperluan kita semua.

"Jutaan terima kasih kepada semua rider seluruh Malaysia. Semoga terus cekal dan jaga diri ok. Keselamatan harus diutamakan," pesannya.