Pelakon dan usahawan Fizo Omar menawarkan kepada pihak yang berminat untuk mengambil alih Restoran Fizomawar Kitchen (FMK) namun dengan menggunakan nama baru.

Jelas Fizo, dia terfikir untuk menukar fikiran selepas menerima beribu komen daripada pelanggan setianya.

"Okay berkaitan dengan Restoran Fizomawar Kitchen (FMK), selepas kita buat pengumuman untuk tamatkan operasi, saya terima beribu komen yang membuatkan saya terfikir sesuatu.

"Rata-rata pelanggan meminta saya buat penjenamaan semula atau meneruskan perniagaan tersebut. Namun, saya menghormati keputusan kedua-belah pihak.

"Komen-komen itu membuatkan saya tersentuh hati, ada yang tanya selepas ini nak makan tom yam, daging bakar dekat mana. Semua resepi saya sendiri belajar di Thailand.

"Saya faham pelanggan akan rindu sebab itu saya terfikir untuk menawarkan kepada sesiapa untuk mengambil alih tanpa menggunakan jenama yang sama tapi guna nama baru," katanya.

Keputusan itu dikongsi menerusi sebuah entri di Instagram TV miliknya.

Pemilik nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar menyatakan dia bersedia untuk berkongsi ilmu serta resepi yang diperoleh di Thailand kepada pengurusan baru.

"Memikirkan pelanggan untuk menikmati menu yang sama, jadi saya bersetuju dan tiada masalah untuk buat resepi serta kongsi ilmu kepada pengurusan baru.

"Sambung kontrak dan semua barang yang sedia ada diberikan sekali. Segala resepi saya akan beri panduan dan latih sesiapa yang berminat.

"Saya fikirkan pelanggan boleh pergi ke restoran baru tapi menu dan rasa yang sama Insya-Allah.

"Saya menawarkan untuk sesiapa yang berminat, boleh bincang harga dan segalanya.

"Saya harap pengumuman yang saya buat ini dapat menggembirakan pelanggan setia yang suka dengan masakan di FMK.

"Saya percaya rezeki ada di mana-mana, tak salah untuk saya berkongsi," katanya lagi.

Terdahulu, Fizo dan bekas isteri, Mawar Karim telah bersepakat untuk menutup operasi restoran Fizomawar Kitchen (FMK) di Bangi dan Kelantan.

BACA: "Minta Maaf, Ini Jalan Terbaik..." - Fizo & Mawar Akhirnya Tutup Operasi Restoran

Fizo dan Mawar bercerai talak satu pada 10 Julai lalu selepas enam tahun berkahwin.

Pasangan yang berkahwin pada November 2013 itu dikurniakan seorang cahaya mata Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.