Pelakon Nadiya Nisaa mengakui terkejut apabila diberi peluang untuk menjadi penyampai radio jemputan di stesen radio iM4U FM.

Menurut Nadiya, dia bersyukur kerana diberikan kepercayaan menjadi penyampai jemputan selama sebulan walaupun tidak mempunyai asas dalam bidang tersebut.

"Ini merupakan sesuatu yang baru bagi saya dan pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana sebelum ini saya tidak pernah mengendalikan tugasan sebagai penyampai radio mahupun pengacara TV.

"Saya tidak pernah terfikir akan diberikan peluang seperti ini dan ternyata menjadi penyampai radio amat menyoronokkan.

"Jadi tidak salah untuk saya mencuba sesuatu yang baru kerana saya juga mempunyai asas dalam muzik dan apabila menjadi penyampai radio di iM4U FM, saya berpeluang mengekspresikan apa yang saya tahu.

"Selama tempoh sebulan itu juga pelbagai benda yang saya belajar dan paling menyeronokkan ialah saya bebas untuk berkongsi genre muzik yang saya suka," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Nadiya, dia akan mempertimbangkan tawaran yang diberikan sekiranya ditawarkan untuk menjadi penyampai radio tetap.

"Saya akan berfikir mengenai tawaran yang diberikan sekiranya ada kerana fokus utama saya adalah lakonan," katanya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi