Tiga lagi hospital terpaksa menggunakan kontena bagi menyimpan mayat individu yang meninggal dunia disebabkan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendekatan sedemikian terpaksa digunakan, susulan peningkatan angka korban akibat wabak itu di seluruh negara.

Tiga hospital tersebut ialah Hospital Serdang (Selangor), Hospital Sultanah Aminah (Johor Bharu) dan Hospital Queen Elizabeth I (Sabah).

Setiap kontena mampu menampung 20 jenazah dalam satu masa.

"Bilik simpanan mayat di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) kini mula penuh dan semakin sukar untuk menampung jumlah jenazah atau mayat susulan peningkatan kematian akibat COVID-19.

"Sehubungan itu, pihak perkhidmatan perubatan forensik menyediakan kontena khas khusus, sama ada untuk jenazah (Islam) atau mayat (bukan Islam).

"Satu 'fleximort' khusus untuk jenazah COVID-19 juga ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang, Selangor), dengan kapasiti maksimum 12 jenazah," katanya menerusi ciapan di Twitter.
Sebelum ini, kontena bersuhu rendah bagi menempatkan individu yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 digunakan di Hospital Sungai Buloh, Selangor sebelum disusuli Hospital Selayang.

Kata beliau lagi apabila kes aktif COVID-19 melebihi kemampuan KKM untuk merawat, maka para doktor terpaksa membuat pilihan sukar untuk utamakan katil ICU bagi pesakit yang berpotensi sembuh yang tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuh rendah (poor prognosis).

"Apabila kes aktif COVID-19 melebihi kemampuan kami untuk merawat, maka doktor terpaksa membuat pilihan sukar.

"Mereka perlu utamakan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit berpotensi sembuh yang tinggi berbanding, pesakit yang potensi sembuh rendah. Terkini, inilah hakikat sebenar.

"Ini adalah implikasi yang tidak diingini oleh setiap petugas kesihatan namun pilihan sukar ini akan terpaksa dilakukan apabila sistem kesihatan mencapai kapasiti maksimum. Bantulah kami agar sistem kesihatan negara tidak lumpuh sama sekali," katanya.

Beliau berkata semua pihak daripada peringkat tertinggi hinggalah ke rakyat jelata perlu membantu memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19.

"Buatlah keputusan dan pilihan terbaik demi rakyat dan negara," katanya.