Single terdahulu berjudul “Kali Ini” dan “Pasti” berjaya menempatkan nama Cherpen Band di persada muzik tanahair. Apatah lagi bila kedua-dua lagu tersebut dipilih menjadi lagu tema (OST) bagi drama bersiri popular yang disiarkan di kaca TV.

Lagu “Kali Ini” menjadi OST drama ‘Sayangku Kapten Mukhriz’ dan “Pasti” pula bagi drama ‘Kekasih Paksa Rela’.

Muzik yang dibawa band yang dianggotai empat ahli yang terdiri daripada Nasrulhaq Shahdan (Nemo - Vokalis), Muhammad Syahir Muhammad Johri (Syahir - Gitar), Nik Ahmad Shauqi Nik Iskandar Ariffin (Ekiey - Bass) dan Muhammad Hakimi Abdul Aziz (Kimie - Dram) ini berjaya menarik perhatian ramai.

Cherpen Band ada sejak 2012

Cherpen Band yang ditubuhkan sejak tahun 2012 lagi sentiasa optimis dalam mengetengahkan bakat dan muzik mereka walaupun menyedari persaingan antara band di Malaysia semakin sengit. Apa yang penting bagi mereka adalah karya yang dihasilkan itu mestilah berkualiti dan mampu diterima baik.

Selepas lama tidak muncul dengan karya terbaharu, Cherpen Band kini melancarkan single berjudul “Lepaskan” hasil ciptaan sepenuhnya oleh anggota Cherpen Band sendiri. Single yang berentak Modern Pop Rock ini diterbitkan oleh syarikat rakaman Seventeen Eleven Music.

Mewakili Cherpen Band, vokalisnya, Nemo berkata, single “Lepaskan” mengisahkan tentang percintaan yang tidak kesampaian.

Lagu untuk move on

“Pendek kata, lagu ini untuk orang yang nak 'move on' selepas putus cinta. Nak tak nak kita terpaksa terima hakikat. Dalam dunia dan kehidupan ini, pasti ramai yang pernah lalui situasi ini. Lagu ini sesuai untuk orang yang tengah 'broken' dan patah hati.

“Untuk genre muzik, masih sama lagi iaitu modern pop rock. Komposer lagu ini kami semua anggota Cherpen Band. Penulis lirik saja orang lain iaitu Shahir. Sebenarnya, rakaman lagu ini dibuat pada bulan Ogos tahun 2021. Tapi disebabkan pandemik dan masa itu masing-masing jauh jadi ditangguh dulu pelancarannya dan sekarang baru masa yang sesuai untuk kami buat kemunculan semula.

“Sebelum ini, semua tahu lagu-lagu Cherpen Band mendapat sentuhan daripada komposer ternama, Hang Nadim atau Akim Ahmad. Semua orang tahu dia punya karya memang padu. Tapi untuk lagu terbaru ini ianya merupakan 100 peratus ciptaan kami sendiri. Orang yang mengikuti kami dari dulu akan tahu perbezaan dan keunikan itu. Tapi untuk yang tak tahu, mereka kena dengar single terbaharu kami ini. Paling utama, Cherpen Band kini lebih matang dari segi susunan muzik,” katanya.

Peram lagu lama

Menurut Nemo, mereka mengambil tempoh yang agak lama untuk menghasilkan single “Lepaskan” disebabkan kekangan waktu.

“Ambil masa lama itu sebab ada kekangan masa kerja waktu itu. Tapi taklah lama sangat. Kami ada juga keluarkan single yang berjudul Esok sebelum ini tapi masa itu orang kata macam kami bereksperimen sikit dengan genre muzik baru yang diketengahkan. Peminat belum boleh menerima genre muzik yang kami bawa ketika itu.

"Lagi satu kekangan terbesar adalah disebabkan kedatangan pandemik jadi terbantutlah semua kerja. Kami juga duduk jauh, ada di Johor dan ada di Kelantan. Itu yang buat kami susah sikit untuk bergerak laju. Tapi untuk kali ini, kami kembali kepada muzik Cherpen Band yang diterima ramai”, katanya.

“Sebenarnya lagu Lepaskan ini dah lama kami peram. Alhamdulillah, sekarang ini masa yang sesuai untuk kami keluarkan single ini. Kami pun baru nak bernafas balik semula. Jadi, harap orang boleh terima lagu terbaru kami ini.

Sama seperti lagu-lagu terdahulu, Nemo berkata lagu “Lepaskan” juga dipilih menjadi lagu tema sebuah drama iaitu drama bersiri 26-episod berjudul ‘Hati Tanpa Rasa’ yang kini bersiaran dalam slot Samarinda TV3 setiap hari Isnin – Khamis jam 10,00 malam. Drama terbitan Creative Skill Solution ini menampilkan pelakon-pelakon utama, Redza Rosli dan Scha Elinnea.

Menurut Nemo, Cherpen Band melalui fasa dan perjalanan yang panjang dan mencabar untuk menjadi band yang dikenali ramai.

“Dari 2012 sampai sekarang ini, kami tidak melalui perjalanan yang mudah. Ada sahaja cabaran yang perlu diharungi. Alhamdulillah, sekali lagi single terbaru kami diambil sebagai OST sebuah drama yang sedikit sebanyak membantu kami atasi cabaran untuk menempatkan band kami dan lagu terbaru. Walau apapun, kami perlu sentiasa bekerja keras dan tak ambil mudah cabaran untuk dikenali ramai.

“Tipulah kalau kata tak nak orang kenal anggota-anggota Cherpen Band. Bagaimanapun, kami tahu bukan mudah untuk dikenali ramai. Sampai sekarang ini pun, kami masih lagi berusaha keras untuk menempatkan diri dalam gelanggang seni”, katanya.

Pastinya, Nemo berharap lagu terbaru Cherpen Band mampu jadi siulan ramai dan senarai main wajib untuk semua pendengar.

“Harapnya, dapatlah diterima ramai kemunculan semula Cherpen Band ini sebab dah lama sangat terperap. Untuk strategi promosi, kami tak adalah buat benda yang pelik-pelik sangat. Kami keluarkan lagu macam biasa saja di semua platform digital dan YouTube.

Sejak dikeluarkan, single “Lepaskan” mendapat sambutan baik pendengar dan kini berada di dalam Top 30 carta ‘era 40’ dan Top 40 carta ‘Suria Top 40’.

Single “Lepaskan” Cherpen Band terbitan Seventeen Eleven Music boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik digital manakala video muzik lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.