Laman Utama

#TravelMana: PKP Tak PKP, Panjut Bersaiz Gergasi Ini Buat Lebaran Tetap Meriah

gempak
Azwa Rahman
13/05/2021
11:45 MYT
Sponsor Banner
#TravelMana: PKP Tak PKP, Panjut Bersaiz Gergasi Ini Buat Lebaran Tetap Meriah
Biar pun menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam norma baharu, semangat dan kemeriahannya tetap dirasa buat segenap umat Islam.
Bagi penduduk di Kampung Ribu, Padang Rengas, Perak, mencipta sebuah punjut bersaiz gergasi dan menyalakannya menceriakan penduduk sekitar.
Menurut Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, Amirruddin Mohd Lazim, sambutan kali ini lebih meriah dengan kehadiran ratusan pengunjung luar bagi menyaksikan panjut setinggi sembilan meter dan selebar 14 meter.
Pada pelaksanaan PKPB tahun lalu, mereka menganjurkan pertandingan punjut rumah ke rumah.
Namun, tiada pertandingan dibuat untuk kali ini memandangkan penduduk memilih untuk bergotong-royong mendirikan panjut gergasi terbabit.
"Sambutan pada tahun lalu boleh dikatakan agak suram, namun tahun ini kami bersyukur kerana tradisi nyalaan panjut gergasi yang dimulakan sejak 2014 mendapat permit polis dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Biarpun tidak semeriah tahun sebelum 2020 dengan pengisian pelbagai aktiviti lain, namun kedatangan pengunjung luar yang bertali arus untuk bergambar menunjukkan 'kekuatan' kampung ini," katanya kepada Harian Metro.
Tempoh tiga bulan diperuntukkan untuk mendirikan pelantar panjut gergasi berkenaan membabitkan empat tingkat dan hampir sepenuhnya dibina daripada buluh bagi menempatkan kira-kira 1,800 pelita tin jenis minyak tanah.
Tambahnya lagi, mereka sepakat memilih tema panjut tahun ini Masjid Selat Melaka dengan kesemua kerja-kerja pembuatannya dilakukan pada waktu malam selepas solat tarawih hingga tengah malam.
"Kita menerima banyak permintaan melalui media sosial agar pertunjukan panjut kali ini dibuat secara berulang, namun kekangan peningkatan kes jangkitan Covid-19 membantutkan usaha itu.
"Sudah menjadi amalan sebelum ini panjut dinyalakan pada tiga malam iaitu tujuh likur, malam 1 Syawal dan malam sambutan Aidilfitri, namun perkembangan terkini kes COVID-19 menyebabkan hanya pada malam tujuh likur sahaja panjut gergasi ini dinyalakan," jelasnya lagi.
Kredit foto: Kosmo Online
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024