Sekilas
- Pengarah Ghaz Abu Bakar mengesahkan penggunaan AI sebanyak 10% dalam filem Konspirasi selepas kemalangan pelakon lagak ngeri menyebabkan kekangan masa penggambaran.
- Ghaz menegaskan AI hanya digunakan sebagai alat sokongan dan penting untuk mempertahankan peluang pekerjaan dalam industri perfileman.
- Filem Konspirasi menggabungkan tema penggodaman siber dan rasuah politik, menampilkan pelakon terkenal seperti Datuk Adi Putra dan Sarimah Ibrahim.
Pengarah filem Konspirasi, Ghaz Abu Bakar mengakui adanya penggunaan Artificial Intelligence (AI) dalam filem arahannya itu.
Menurut Ghaz, dia terpaksa menggunakan teknologi tersebut bagi melengkapkan beberapa adegan selepas berlakunya kemalangan melibatkan pelakon lagak ngeri di lokasi penggambaran.
Walau bagaimanapun, pengarah berusia 51 tahun ini menegaskan bahawa hanya 10 peratus penggunaan AI yang digunakan memandangkan produksi berdepan kekangan masa untuk menjalani penggambaran semula.
“Berlaku kemalangan yang tidak diingini di set penggambaran sehingga menyebabkan pelakon lagak ngeri mengalami patah rahang dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Kecederaannya agak serius dengan kos rawatan mencecah RM60,000.
“Disebabkan insiden itu, kami berdepan kekangan masa yang sangat kritikal. Ditambah pula faktor cuaca hujan yang tidak menentu serta jadual pelakon yang padat, kami tidak mempunyai pilihan untuk menjalani penggambaran semula bagi babak berkenaan,” katanya kepada Gempak.
Ghaz berkata demikian pada sidang media filem Konspirasi di IOI City Mall, baru-baru ini.
Mengulas mengenai penggunaan AI dalam industri perfileman negara, Ghaz menegaskan bahawa perlu adanya batas dan ia sewajarnya hanya digunakan sebagai alat sokongan.
“Pada pandangan saya, AI boleh digunakan untuk menambah baik sesuatu babak, tetapi jangan sampai digunakan 100 peratus kerana ia boleh membuatkan kita menjadi malas dan hilang kreativiti.
“Paling penting, saya mahu mempertahankan nasib pekerja industri. Jika semua perkara diserahkan kepada AI, lama-kelamaan peluang pekerjaan untuk pelakon dan kru akan terjejas. Kita tidak mahu budaya hanya ‘imbas muka’ dan semuanya diselesaikan mesin.
“Proses menyiapkan filem ini sangat mencabar. Kami menjalani penggambaran dalam cuaca panas dan berembun, malah ada yang keluar pagi dan pulang pagi. AI hanyalah alat bantuan ketika kecemasan, namun usaha keras tenaga kerja di belakang tabir tetap tidak boleh digantikan,” ujarnya.
Bercerita pula mengenai filem Konspirasi, Ghaz berpendapat naskhah yang dihasilkannya itu sebagai satu eksperimen berani kerana menggabungkan dunia penggodaman siber dan realiti gelap rasuah dalam landskap politik semasa.
“Kita tahu rasuah memang berlaku. Saya bukan mahu menyentuh sesuatu yang dianggap tabu, tetapi mahu memaparkan sisi baik dan buruk sesuatu tindakan. Yang baik akan menerima balasan baik, manakala yang jahat tetap menerima akibatnya.
“Apa yang cuba disampaikan ialah kesan pengambilan rasuah sehingga boleh menjejaskan institusi keluarga dan keturunan,” katanya lagi.
Konspirasi mengisahkan pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu seorang pakar siber yang terlibat dalam kebocoran data sehingga mencetuskan krisis politik negara.
Filem itu dibintangi pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Che Puan Sarimah Ibrahim, Alicia Amin, Sarimah Ibrahim dan ramai lagi.