VIRAL
Trend Gambar Kartun Raya, Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus - “Kalau Buat Jadi Benda Hina, Hukumnya…”
Aidilfitri tahun ini menyaksikan satu trend yang menarik perhatian ramai iaitu gambar-gambar raya bertukar wajah menjadi versi kartun.
Trend Ubah Gambar Kartun
Berdasarkan pemerhatian, ramai kalangan pengguna media sosial mengambil peluang menggunakan aplikasi penukaran gambar kepada bentuk kartun.
Rata-rata pengguna seronok melihat wajah sendiri atau ahli keluarga dalam versi animasi, lalu memuat naik ke media sosial.
Namun, di sebalik kecomelan tersebut, wujud juga kebimbangan apabila suntingan imej itu terlalu jauh menyimpang daripada rupa asal.
Ada yang wajahnya diubah secara drastik, ada pula gambar yang ditambah bilangan individu, atau ekspresi wajah yang diolah semula sehingga boleh mengubah makna sebenar.
UAI Perjelas Hukum
Sehubungan dengan itu, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, tampil menjelaskan hukum mengubah gambar manusia kepada versi kartun tersebut.
Menurut Ustaz Azhar, sekiranya ia dilakukan semata-mata untuk hiburan, tanpa menyentuh maruah atau menjatuhkan imej seseorang, maka ia dibolehkan. Namun, jika suntingan tersebut membawa kepada pemalsuan, penghinaan, atau mempersenda individu lain, maka ia boleh menjadi satu bentuk dosa yang perlu dielakkan.
“Seandainya perbuatan itu tidak mengurangkan darjat kebesaran, tidak menjatuhkan maruah orang, bahkan menyukakan (lagi) manusia kepada akhirat, hukumnya harus.
“Namun kalau sampai jadi menghina orang atau menurunkan martabat orang yang patut kita muliakan, hukumnya dilarang syarak.
“Bahkan bukan sahaja watak ulama, gambar-gambar anak beranak kita pun kalau kita buat jadi benda hina, (maka) haram (hukumnya),” tegas beliau menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok @Ceramah.ustaz33.
Dalam pada itu, Ustaz Azhar juga menjelaskan jika suntingan gambar dibuat sekadar untuk gurauan ringan tanpa unsur menjatuhkan maruah adalah dibenarkan.
“Sebagai contoh, orang melakukan suntingan gambar anak, keluarga atau kawan dia (yang dirakam) di pejabat, tetapi kemudian disunting (lokasinya) duduk di atas gunung, ada salji dan sebagainya.
“(Ia) tidak ada unsur menghina atau mengaibkan orang, maka harus (berbuat demikian).
“Bagaimanapun, jika sampai tahap menghina, disebarkan di khalayak ramai dan menjadi aib orang, (perbuatan itu) sama seperti mengumpat,” katanya.
Must-Watch Video