Selepas sebuah video akad nikah yang dikaitkan dengannya tular dan mendapat kecaman, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi akhirnya memohon maaf.

Menurut beliau, permohonan maaf itu dibuat sekiranya isu akad nikah secara dalam talian itu menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, beliau kesal dengan penularan perkara itu kerana menyifatkan ia sebagai sesuatu yang peribadi.

Tanpa mengesah atau menafikan sama ada beliau adalah Ahli Parlimen yang dimaksudkan itu, Che Abdullah berkata, sedang meneliti tindakan perundangan ke atas pihak yang cuba mengaibkannya.

"Saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya isu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan saya dalam minggu ini telah menyinggung mana-mana pihak.

"Ketika ini saya telah mendapat nasihat daripada peguam yang telah dilantik dan akan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat. Dan saya dinasihatkan supaya tidak mengulas lanjut.

"Saya berasa amat kesal dengan isu ini di mana isu yang dihebohkan itu, saya rasa semua pun boleh rasa bahawa ia bersifat sangat peribadi, yang melibatkan bukan sahaja saya , malah seluruh keluarga saya.

“Isu sebegini sepatutnya tidak berlaku," katanya.

BACA: “Kita Akan Panggil Imam Itu” - Timbalan Menteri Nikah Online? Majlis Agama Islam Narathiwat Jalankan Siasatan!

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand akan menjalankan siasatan berhubung isu majlis akad nikah secara dalam talian yang didakwa membabitkan seorang timbalan menteri di negara ini.

Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat menjelaskan pihaknya tidak pernah mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.

Rakaman video dan salinan sijil nikah yang tular itu turut mendapat kritikan ramai kerana individu itu didakwa melangsungkan pernikahan sewaktu rakyat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber : Astro Awani