Laman Utama
Tutup Kelab Komedi Hina Islam - Yusuf Azmi
Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia) menggesa pihak berkuasa menutup terus kelab Crackhouse Comedy yang didakwa menyajikan persembahan lawak jelik dan menyentuh sensitiviti agama serta kaum.
Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi berkata, tindakan itu perlu diambil supaya menjadi iktibar kepada pemilik kelab-kelab komedi di seluruh negara agar lebih sensitif terhadap keharmonian agama dan bangsa dalam berjenaka.
Menurutnya, gesaan itu dibuat bukan berdasarkan satu video yang tular melibatkan seorang pelawak wanita yang membuka baju dalam persembahannya.
Malah pemilik kelab tersebut yang dikenali sebagai Rizal didakwa telah berulang kali memuat naik kandungan video jelik yang menghina dan menyindir komuniti di Malaysia.
"Rizal ini dah banyak video dia buat, dia buat benda ini sudah berbelas tahun, jadi sebab itu saya nampak tempat ini perlu ditutup.
"Bila ditutup, ianya menjadi iktibar kepada semua pemilik kelab 'stand-up comedy' supaya perkara begini tidak berlaku lagi," katanya kepada Sinar Harian selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada Rabu.
Turut hadir, pengarah filem Syamsul Yusof, pelawak Shahrol Azizie Azmi atau Shahrol Shiro, dan beberapa penyokong serta ahli Semboyan Malaysia sekitar jam 5 petang di IPD Brickfields untuk membuat laporan terhadap pemilik kelab tersebut.
Mengulas lanjut Yusuf Azmi menegaskan, seandainya premis itu dibenarkan untuk terus beroperasi, pihaknya akan mengadakan mogok di hadapan kelab tersebut sehingga ia ditutup.
"Kalau kelab itu dibuka semula kita akan buat mogok di hadapan kedai sehingga ia ditutup.
"Kita buat ini demi agama, kita bukan handak pecahkan kedai itu, kita juga akan duduk mogok untuk menyatakan ketidakpuasan hati.
"Kita orang Islam ini banyak berbudi bicara kita tak suka bergaduh, kita tak suka berbahas. Tetapi, janganlah pijak kepala kita," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video