Pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac merancang untuk mengintai peluang kerjaya lakonan di Hollywood.

Pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac, 47, berkata usia bukan penghalang untuk mencipta nama di sana.

"Selepas ini sasaran saya adalah untuk mencari tapak memulakan kerjaya di Hollywood.

"Mungkin orang lihat umur saya sudah terlewat tetapi di sana umur tidak menjadi masalah kerana populariti bermula pada usia 40 tahun.

"Tetapi berbeza dengan pasaran Malaysia kerana penonton hanya mahukan pelakon muda untuk membawa watak utama dan sebagainya," katanya kepada Gempak.

Hans pernah mencipta nama sebagai pelakon di Filipina dan Thailand.

Mengulas mengenai pelakon Henry Golding yang mencipta nama di Hollywood dengan membintangi filem Crazy Rich Asian, Hans akui bangga.

"Pada saya Henry seorang yang berani dan saya bangga dengan pencapaiannya di Hollywood.

"Bagi saya, dia memulakan langkah yang tepat kerana terus mencari peluang di sana tanpa menghiraukan industri seni hiburan di Malaysia.

"Dia pun sudah tahu pasaran di Malaysia kecil," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Hans bakal muncul dalam program realiti automotif terbitan asal saluran History Asia, Celebrity Car Wars musim ketiga.

[BACA: Hans Isaac Bersama Lima Selebriti Berentap Di Litar Lumba]

Celebrity Car Wars akan mula ditayangkan pada 9 September ini di History Asia (Saluran Astro 555 dan 575 HD), setiap Ahad jam 9.55 malam.