Laman Utama
[VIDEO] Casablanca Viral Di TikTok, Nuha Bahrin Belajar Sebutan Bahasa Arab Dengan Kawan Dari Syria
Denyut jantungku berdebar
Terasa Indahnya
Dunia ini kita yang punya
Demikian lirik lagu yang tular di aplikasi TikTok ketika ini, melatari pelbagai momen manis dan romantis pelbagai pasangan yang sedang dilamun cinta.
Lagu terbabit merupakan milik duet terbaharu Nuha Bahrin dan Naufal Azrin berjudul Casablanca.
Berkongsi lebih lanjut tentang lagu ciptaan Daqmie itu, kata Nuha, Casablanca sangat sesuai buat mereka yang ada ‘crush’ atau yang sedang dalam percintaan.
"Pada saya tujuan utama lagu ini adalah untuk pasangan yang suka buat kandungan di TikTok jadi ia boleh dikaitkan dengan lirik lagu ini. Lagu ini mengisahkan dua orang yang sedang bercinta, macam baru mempunyai perasaan antara satu sama lain.
"Ia seperti percintaan sewaktu muda dan sangat teruja dengan cinta pertama mereka. Ia juga macam nak beritahu perasaan sebenar kepada pasangan mereka atau ‘crush’," katanya.
Ditanya mengenai proses penulisan lagu, Nuha meluahkan rasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik yang bagus dan berpengalaman luas iaitu Abdul karim Al Ali.
"Bagi proses penulisan lagu, alhamdulillah kami ada pasukan yang baik, komposer juga bagus iaitu Daqmi dan Wan Salleh.
"Kami juga dapat bantuan daripada kawan kami dari Syria iaitu Abang Karim dan dia banyak tolong kami dalam memperbetulkan cara sebutan, terutamanya sebutan arab sebab ia perlu teliti. Kalau salah sikit sahaja terus salah maknanya. Kami belajar banyak daripada dia," katanya.
Sementara itu, kata bekas anggota kumpulan nasyid Zayne, Naufal Azrin, merakamkan lagu dan video muzik Casablanca adalah pengalaman yang cukup berharga buat diri dan kerjayanya.
"Rakaman lagu ini ambil masa selama satu hari sahaja. Lagu ini juga kami ada lirik dalam bahasa Arab dan Melayu. Untuk bahasa Arab kami diberi tunjuk ajar oleh Abdul Karim, dia yang ajar kami supaya ia sedap didengari oleh orang.
"Kalau tak memang susah nak bawa, tapi bila dia ada ia menjadi senang. Abdul Karim ini juga boleh berbahasa Melayu, jadi ia memudahkan proses rakaman lagu ini," ujarnya.
Casablanca kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muziknya sudah boleh ditonton di laman YouTube Mashyur mulai 4 Jun 2022 jam 9 malam.
Must-Watch Video