Selepas 19 bulan, Thailand membuka sempadan negaranya bermula semalam (Isnin), dan telah menerima ribuan pelancong asing dari 63 negara dan wilayah berisiko rendah.

Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok kembali sibuk apabila pelancong antarabangsa yang tiba dengan menjalani saringan ketat sebelum mendapat kebenaran masuk, dibantu oleh kakitangan lapangan terbang.

Akhbar harian Thai English Bangkok Post melaporkan pengurus besar Lapangan Terbang Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn berkata sebanyak 61 penerbangan dijadualkan tiba pada Isnin dengan kira-kira 3,000 penumpang, termasuk 700 warga Thailand yang pulang ke tanah air.

Di bawah peraturan perjalanan bebas kuarantin, pelancong lengkap divaksin yang tiba melalui perjalanan udara mesti menjalani ujian calitan Covid-19 di lapangan terbang dan menghabiskan malam pertama mereka di hotel yang telah ditentukan terlebih dahulu.

Jika keputusan ujian itu negatif, mereka akan dibenarkan melawat wilayah lain di negara ini.

Selain itu, bermula pada 1 November, pelawat yang lengkap divaksin dari negara yang tiada dalam senarai negara berisiko rendah boleh melancong ke 17 destinasi pelancongan 'Zon Biru' termasuk Bangkok, Phuket, Krabi, Phang-Nga dan mereka mesti menjalani kuarantin tujuh hari sebelum melancong ke wilayah lain dalam negara itu.

Pelawat dari negara dan wilayah yang akan dikecualikan kuarantin wajib mulai hari ini termasuk Australia, Kemboja, China, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Arab Saudi, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Taiwan dan Hong Kong.

Pelawat yang lengkap vaksinasi dari negara dan wilayah itu termasuk Malaysia akan dikecualikan daripada kuarantin.

Selain Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Lapangan Terbang Phuket juga membuka semula pintunya kepada pelancong bermula semalam.

Sumber: BERNAMA