Bagi mereka yang membesar pada penghujung tahun 90-an pasti tahu betapa besarnya impak kumpulan Senario terhadap industri seni tanah air.

Selain program mingguan yang sering ditunggu-tunggu, kumpulan Senario juga aktif menghiasi layar lebar menerusi beberapa buah filem seperti Senario The Movie (1999), Senario Lagi (2000), Lagi-Lagi Senario (2001), Lang Buana (2003), Senario XX (2005) dan Senario Pemburu Emas Yamashita (2006).

Justeru, apabila Senario mengumumkan sedang menjalani penggambaran filem baharu, kebanyakan netizen khususnya peminat dilihat tidak sabar menantikan naskhah tersebut daripada kumpulan komedi ikonik negara itu.

Terkini, salah seorang anggota Senario iaitu Azlee berkongsi menerusi Instagram gambar belakang tabir bersama pelakon Syanie, iaitu pelakon sama yang membintangi filem Senario Lagi.

A post shared by Azlee Senario (@azleesenario)


Menerusi ruangan kapsyen, Azlee menulis: “Filem terbaharu Senariounion dalam pembikinan hari ke-3. Arahan Aziz M. Osman atau Abang Long, terbitan Botak Production. Syukur Allah.

“Semoga Allah permudahkan. Amin. Yang bestnya pelakon pun reunion teknikal team pun reunion. Mantap Aziz M. Osman,” tulisnya.

Dalam pada itu, menerusi ruangan komen, kebanyakan pengikut Azlee melahirkan rasa teruja menantikan filem berkenaan.

“Kami support film Senario... Semoga dipermudahkan urusan kalian dalam menjayakan filem terbaharu,” tulis seorang peminat.

“Harap Zali pon buat comeback,” respons seorang netizen yang merujuk kepada watak Zali, iaitu anak kepada Azlee dan Syanie dalam Senario Lagi.

“Dah 20 tahun Abang Azlee masih setia tak jadi kahwin dengan Cik Linda. Wira legend yang Wahid curi tu ada lagi ke?” komen seorang lagi peminat yang merujuk kepada filem yang sama.