Pelakon Fattah Amin tidak mempunyai sebarang masalah untuk tampil sedondon dengan penyanyi Amira Othman pada majlis pengumuman duta Jakel Raya 2025 kerana ia hanyalah sebahagian daripada tuntutan kerja.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, menganggap kerjasama dengan Amira Othman sebagai salah satu rezeki yang diberikan kepadanya.
“Ini adalah rezeki dan kepercayaan yang diberikan oleh klien. Kami sama-sama membantu.
“Bila gandingan kami memberikan impak positif buat Jakel dan kami berdua, saya rasa tiada masalah kerana semuanya adalah rezeki daripada Allah,” katanya kepada Gempak.
Fattah berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman duta Jakel Raya di Jakel Mall, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Pada masa sama, pelakon kacak itu turut dilihat menjaga jarak dengan Amira ketika berjalan dan semasa ditemu bual oleh media.
Dalam pada itu, Fattah juga menjelaskan dia tidak berasa terganggu apabila dikaitkan dengan selebriti wanita, kerana baginya semua itu hanyalah sebahagian daripada urusan kerja tanpa melibatkan sebarang emosi.
“Saya hanya fokus kepada urusan kerja sahaja. Saya juga mengambil kira permintaan daripada klien.
“Lagipun, yang ‘kenen-kenenkan’ itu adalah peminat, bukan kami sendiri yang mencipta situasi tersebut,” jelasnya.
Sebelum ini, Fattah pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan Amira selepas dia bercerai dengan pelakon Nur Fazura pada 7 Oktober tahun lalu.
Fattah dan Amira dilantik menjadi duta jenama berkenaan bersama artis lain seperti Elly Mazlein, Cik Epal, Nabil Ahmad dan Anzalna serta kumpulan Senario bagi memeriahkan kempen raya tahun ini.