Hiburan

Ziana Zain Diva Seluruh Generasi, Musnahkan Skeptikal Usia 56 Hanya Angka

gempak
Maliah Surip
27/05/2024
15:55 MYT
Sponsor Banner
Ziana Zain Diva Seluruh Generasi, Musnahkan Skeptikal Usia 56 Hanya Angka
Apa yang tidak ‘membunuh’ seorang penghibur adalah bagaimana peminat tetap memberi sokongan dan dukungan malah begitu antusias menyambut puspita hati berjuang dalam hayat kerjaya mereka.
Itulah keberuntungan besar yang diperoleh penghibur yang pada malam sakral miliknya, Ziana Zain, ‘ditatang’ dengan begitu mega oleh para Ziana Folks (gelaran peminat tegar) serta peminat muzik yang telah menanti sekian lama untuk melihat figura tersebut beraksi di atas sebuah panggung bertaraf konsert.
Pada malam Ziana Zain Concert 2024 yang dibawakan oleh CSA Academy selaku penganjur utama bersama Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd serta Altus ProHouse di Mega Star Arena, seluruh peminat yang hadir dapat berasa getar dan bahang yang sama.
Getar bagaimana setiap kali melihat pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain itu muncul di panggung, karisma dan bakat yang ada dalam dirinya membuat peminat tidak keruan dan sangat teruja.
Ziana Zain di depan mata. Tanpa pernyataan ‘show off’, beliau mempersona, anggun dan punya aura seperti sejak pertama kali kemunculannya lebih 20 tahun lalu.

BERITA TRENDING: Ibu Solat Hajat, Bapa Ziana Zain Video Call Mahu Lihat Baju & Solekan

Melagukan tembang hitnya seperti Kasih Ku Pertahankan, Fatalistik, Anggapanmu, Lara, Setiaku Di sini dan Dingin, tiada 5,000 penonton yang boleh duduk tenang.
Mantan pramugari tersebut telah membawa semua masuk ke dunianya. Karya-karya seperti Kemelut Di Muara Kasih, Puncak Kasih, Senja Nan Merah dan Madah Berhelah yang menjadi lagu terakhir didendangkan membekaskan momen tersendiri dalam setiap seorang penonton yang hadir.
Selain ingatan pulang kepada zaman kegemilangan karya-karya tersebut yang pernah mengisi indah atau duka kehidupan, melihat Ziana membawakan rendisi tersebut dalam balutan susunan muzik baharu yang menerima sentuhan emas Pengarah Muzik, Aubrey Suwito adalah satu kepuasan.
Ini fakta yang tidak boleh dinafikan. Ibu tunggal empat anak tersebut tidak lagi menyanyikan lagu-lagu bernada tingginya dalam notasi yang sama seperti muda.
Namun sebagai seorang penghibur berpengalaman, Ziana tahu untuk ‘bermain’ dengan dirinya sendiri dan kepakaran Aubrey ‘menikahkan’ susunan muzik baharu yang terdengar lebih segar dengan kadar vokal Ziana yang telah melalui banyak fasa sebagai penyanyi.

Konsert selepas dua dekad

Sementelah Ziana Zain Concert 2024 merupakan konsert yang dilaksanakan dalam senggang masa yang cukup lama iaitu 21 tahun.
Dan ia dilaksanakan Ziana pada usianya yang bagi masyarakat umum digelar sebagai warga emas — 56 tahun.
Di atas panggung, di sebalik glamor dan gemerlap tiga persalinan diiringi permainan muzik kemas dan mewah daripada pemuzik profesional, ramai yang terlupa angka 56 tahun seorang Ziana Zain.
Sebaliknya untuk usia tersebut, Ziana ‘membunuh’ skeptikal dan kebimbangan dirinya sebagai seorang penghibur yang masih boleh menyanyi sekaligus menghiburkan peminat.

“Dua hari saya tidak tidur, bimbang dan skeptikal mampu atau tidak saya melakukan konsert ini.

“Dengan usia 56 tahun, masihkah saya mampu menyanyi dengan baik pada lagu saya yang bernada tinggi. Kalau dulu mungkin menyanyi 20 buah lagu bukan masalah tapi untuk usia sekarang, semua perlu dititik berat.
“Saya berdepan hal menghafal lirik setelah susunan muzik berubah, mahu kekalkan tenaga semua itu saya kena ambil kira.
“Namun skeptikal saya ‘pecah’ apabila usai konsert ini. Ia menjadi booster untuk saya melakukan persembahan lagi dan lagi pada masa hadapan. 56 tahun hanya angka.
“Saya akan terus menghiburkan jika ada rezeki, ada permintaan,” ujar Ziana yang ditemui pada sidang media usai konsert berlangsung.
Semua kejayaan yang dicetak bukan hanya pada Ziana Zain Concert 2024 tetapi di sepanjang sepak terajang dan jatuh bangun karier beliau dapat dilihat dengan cara figura tersebut menghormati dan menyantuni kedua ibu dan bapanya.
Seperti yang diungkap berulang kali oleh Ziana tentang doa dan restu ibu bapa di sepanjang kehidupan serta kariernya, begitulah pundi-pundi rezeki penghibur tersebut tidak pernah tertutup.
Dengan sikap membumi, canda nakal, profesionalisme dan tekunnya seorang Ziana Zain sebagai penghibur, beliau akan terus menjadi ratu, primadona, diva dan kesayangan selamanya di hati peminat.
Meski kata Ziana: “Sekarang ini saya tidak pernah rasa diri terkenal atau seorang legenda.
“Saya hanya menyanyi sebelum menjadi Siti Roziana Zain apabila meninggalkan Ziana Zain di atas panggung.”
Hanya saja jika Ziana Zain tahu, kehadiran beliau dalam belantika muzik Malaysia, dengan cengkok nyanyian Melayu dan sebutan menyanyi tanpa slanga sebenarnya jauh lebih baik meninggalkan budaya ‘pemujaan’ kepada penyanyi dari seberang.
Terima kasih Ziana Zain. Beruntungnya generasi kami yang membesar dengan karya-karya menusuk yang dilagukan anda. Andalah diva seluruh generasi. Setia kami di sini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live