Sekilas
- Pengarah dan penerbit Jinggo menegaskan ibu bapa perlu beri ruang kepada anak memilih pasangan hidup sendiri tanpa campur tangan berlebihan.
- Jinggo menegaskan selepas kahwin, ibu bapa masih boleh menegur jika ada perkara salah, tetapi pilihan tetap di tangan anak.
- Perkongsian Jinggo mendapat sokongan ramai netizen yang memuji cara beliau dan Sheila Rusly melayan anak serta menantu mereka.
Pengarah dan penerbit terkenal, Jinggo berkongsi pandangannya mengenai sikap segelintir ibu bapa yang terlalu mencampuri urusan rumah tangga anak-anak mereka.
Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya berkata, ibu bapa sepatutnya memberi ruang kepada anak untuk memilih pasangan hidup sendiri kerana mereka yang akan menjalani kehidupan bersama selepas berkahwin.
“Yang nak kahwin dengan anak kita itu bukan kita, tetapi mereka. Biarlah mereka yang pilih. Susah senang mereka nanti, bukan kita yang menghadap tetapi mereka.
“Jadi, kita lihat dan nilai betul-betul sebelum mereka jadi anak kita. Selepas kahwin, benda salah dan tak betul, tetap kena tegur. Sayang tetap sayang. Sebab itu kita tegur. Mana ada formula,” tulisnya.
Dalam hantaran lain, suami kepada pelakon Sheila Rusly itu turut berkata ibu bapa tidak sepatutnya terlalu mengawal pilihan anak-anak.
“Mana ada anak-anak pilih pasangan yang tak baik. Cuma kita sahaja terlalu banyak campur tangan. Kena ikut sahaja kehendak anak sebab anak itu anak kita. Isteri itu isteri dia, bukan kita,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai di media sosial yang rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan Jinggo dan memuji cara dia serta Sheila melayani anak-anak serta menantu mereka.