Sekilas
- Ahmad Hamada menunjukkan pengorbanan luar biasa dengan menjual hampir semua harta miliknya demi menampung kos rawatan isteri, arwah Siti Nuraifat Bueraheng yang menghidap kanser sarcoma tahap empat.
- Dr Afif Mohd Ridzwan memuji ketabahan Aifat sepanjang rawatan dan menyifatkan kisah pasangan ini sebagai inspirasi serta pengajaran tentang erti setia dan kasih sayang sejati.
- Aifat meninggal dunia pada 18 Disember selepas mengalami sesak nafas, dan kisah mereka menjadi peringatan kepada masyarakat untuk menghargai insan tersayang serta memberi sokongan kepada pesakit kanser.
Kisah tular pengorbanan suami arwah Siti Nuraifat Bueraheng iaitu Ahmad Hamada Ayueman disifatkan sebagai luar biasa dan jarang ditemui.
Hamada yang berjuang bersama isterinya sejak awal diagnosis kanser sarcoma tisu lutut tahap empat juga benar-benar menyentuh hati masyarakat.
Dr Afif Mohd Ridzwan mengakui, perjalanan merawat Allahyarham Aifat dan menyaksikan kesetiaan serta pengorbanan Ahmad Hamada Ayueman menjadi antara pengalaman paling menyentuh hati dan sukar dilupakan sepanjang tahun 2025 dalam kerjaya perubatannya.
“Sebagai doktor, saya bukan sekadar melihat seorang pesakit, tetapi kami menyaksikan sebuah perjuangan suami isteri. Hamada sanggup mengorbankan segalanya demi rawatan isterinya. Itu bukan perkara mudah,” katanya.

Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain berkata, kisah pengorbanan Hamada dan ketabahan Aifat yang tular di media sosial baru-baru ini memberi kesan mendalam kepada netizen yang mengikuti perkembangan mereka.
“Apabila sesuatu kisah menjadi tular, ia biasanya kerana ada nilai kemanusiaan yang sangat kuat. Kisah Hamada dan Aifat membuka mata ramai tentang erti setia, pengorbanan dan kasih sayang sebenar.
“Ini kerana kita selalu dengar kisah lelaki atau wanita yang tidak sanggup bersusah payah dengan pasangan apabila diuji. Malah ada yang cari lain kerana tak mahu susah bersama,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Dr Afif turut memuji kekuatan luar biasa yang ditunjukkan oleh Aifat sepanjang menjalani rawatan, walaupun berdepan kesakitan dan ujian berat.
“Aifat adalah pesakit wanita yang sangat tabah. Walaupun tahu keadaannya serius, dia tetap berusaha untuk kuat, senyum dan tidak mengeluh.
“Semangatnya melawan kanser wajar dijadikan inspirasi buat pesakit kanser lain di luar sana. Saya tahu apa yang dialami pesakit kanser memang tidak mudah, tetapi bukanlah mustahil untuk kembali bersemangat.
“Kadang-kadang, kehebatan seseorang bukan diukur dengan sembuh atau tidak, tetapi bagaimana dia menghadapi ujian itu dengan penuh iman dan reda. Aifat telah menunjukkan kehebatan itu.
“Semoga kisah ini terus menginspirasikan masyarakat untuk menghargai insan tersayang dan memberi sokongan kepada pesakit kanser. Semoga Allah menerima segala amal arwah dan memberi kekuatan kepada Hamada serta anak-anak,” jelasnya.

Terdahulu, Aifat menghembuskan nafas terakhir awal pagi 18 Disember baru-baru ini, ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, selepas mengalami sesak nafas.
Suaminya, Ahmad Hamada memaklumkan bahawa isterinya sempat mengucap di hadapannya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Kisah pasangan ini sebelum ini turut mendapat perhatian ramai apabila Hamada sanggup menjual hampir kesemua barangan miliknya termasuk emas dan sebuah kereta mewah BMW bagi menampung kos rawatan isterinya.
@drafif_alfarhain Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Al-Fatihah buat Allahyarhamah Aifat, isteri tercinta kepada Ahmad Hamada. Saya pernah merawat dan menyaksikan sendiri ketabahan arwah ketika melawan kanser, dan sempat menitipkan kata-kata semangat buatnya. Namun, Allah lebih menyayanginya. Semoga Hamada sekeluarga diberi kekuatan, dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Amin Ya Allah. #EnerVast #PusatRawatanAlFarhain #alfarhain24jam #dialisis #alfarhainmedicalcentre ♬ original sound - DR AFIF