Ketua Juri Gegar Vaganza 12 (GV12), Datuk Ramli MS tampil menjelaskan isu mengenai peserta GV12, Shae, yang tidak dapat membawakan lagu popularnya Sayang di pentas program itu.
Menurut Ramli atau lebih dikenali sebagai Tok Ram, setiap komposer mempunyai hak untuk tidak membenarkan penyanyi asal menyanyikan semula lagu ciptaannya atas sebab tertentu.
Advertisement
Lebih mengejutkan, Tok Ram berkata situasi seperti itu bukan perkara baharu kerana di negara jiran, penyanyi perlu membuat bayaran terlebih dahulu sekiranya mahu membawakan lagu ciptaan komposer.
"Sekarang ada trend di Indonesia, jika kamu ingin menyanyi, kamu perlu membayar terlebih dahulu kerana itu adalah hak composer. Tapi, kami tidak tahu maklumat terperinci. Cumanya, lagi elok jika kamu tidak menyanyikan lagu berkenaan. Jika orang lain menyanyikan tidak mengapa. Kalau dia sentuh melodi kemungkinan besar akan mendapat surat. Itu semua adalah hak masing-masing," katanya ketika ditemui Gempak
Bagaimanapun, Tok Ram menegaskan bahawa pihak juri sepenuhnya menghormati situasi tersebut dan ia sama sekali tidak akan menjejaskan pemarkahan para peserta.
"Jadi, kami sebagai juri menghormati dan memahami situasi yang dilalui Shae. Isu tersebut tidak menggangu markah. Contoh, kalau lagu tersebut ialah 30 peratus...Namun, jika dilihat walaupun dia ada menyanyi sedikit bahagian lagu tersebut, dia masih di kedudukan tangga 3 ke bawah. Ia bukan isu yang besar.
"Saya faham mereka memang ada hak terutama jika lagu tersebut popular. Kadang boleh cecah puluh ribu tetapi royaltinya sedikit. Jadi, mungkin mereka ingin lebih dari itu. Itu adalah hak masing-masing," ujarnya.
Sebelum ini, Shae menjelaskan bahawa dia tidak dapat menyanyikan lagu popularnya di pentas GV12 kerana terikat dengan isu perundangan yang masih belum selesai.