Sekilas
- Kumpulan Alpha tercalon dalam tiga kategori utama di Gempak Most Wanted Awards 2025, termasuk Video Muzik Tergempak, Selebriti Tergempak, dan Lagu Era Tergempak.
- Ini merupakan pencalonan pertama Alpha dan mereka sangat bersyukur serta terkejut dengan pencapaian tersebut.
- Fasa undian GMWA 2025 bermula 15 Januari hingga 15 Februari dengan format baru gabungan undian peminat dan juri profesional.
Segala usaha akhirnya membuahkan hasil apabila kumpulan meningkat naik, Alpha, tercalon dalam tiga kategori di Gempak Most Wanted Awards 2025.
Ketua kumpulan, Daniel Sher mengakui terkejut dan bersyukur dengan pencalonan tersebut, malah tidak menyangka mereka berjaya meraih tiga pencalonan serentak.
Menurut Daniel, walaupun mereka menyimpan harapan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu anugerah, segalanya diserahkan kepada rezeki.
"Saya nak ucapkan terima kasih dan terkejut sebab tercalon. Saya rasa kami dah kerja keras dan saya harap kami sekurang-kurangnya menang satu anugerah.
"Kami memang ada letak harapan tetapi semua terletak pada rezeki, katanya kepada Gempak.
Sementara itu, ahli kumpulan lain, Ariel berkata pencalonan tersebut sudah cukup bermakna buat Alpha kerana ini merupakan kali pertama mereka tercalon.
"Tercalon dalam satu anugerah pun dah besar buat kami sebab ini adalah anugerah kali pertama buat Alpha. Dah jadi calon pun sangat bersyukur dan gembira, ujarnya.
Sekadar rekod, Alpha tercalon dalam tiga kategori iaitu Video Muzik Tergempak 2025, Selebriti Tergempak 2025 dan Lagu Era Tergempak 2025, sekali gus menjadikan mereka antara selebriti dengan pencalonan terbanyak di GMWA 2025.
Senarai Top 10 GMWA2025 diumumkan secara rasmi pada 14 Januari 2026 dan fasa undian akan dibuka kepada orang ramai bermula 15 Januari hingga 15 Februari 2026.
Lebih menarik, GMWA kali ini juga membawa format baharu iaitu 50 peratus undian peminat dan 50 peratus lagi undian daripada juri profesional.
Edisi kali ini juga tiada lagi dua fasa undian seperti edisi terdahulu sebaliknya calon-calon Top 10 akan terus bertanding sehingga ke Malam Kemuncak GMWA2025.
Sebanyak 50 kredit undian diberikan bagi setiap kategori sehari.
Jangan lupa layari www.gempakmostwantedawards.com untuk mengundi calon kegemaran anda.