Israel pada Jumaat meluluskan gencatan senjata fasa pertama dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas sekali gus membuka jalan kepada penghentian serangan di Gaza dalam tempoh 24 jam dan pembebasan tebusan Israel dalam masa tiga hari selepas itu.
Perjanjian yang dimeterai awal pagi Jumaat itu diumumkan selepas rundingan intensif selama 24 jam oleh pihak perantara.
Advertisement
Ia melibatkan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin serta penarikan berperingkat pasukan tentera Israel dari Gaza di bawah pelan yang disokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menamatkan perang dua tahun di wilayah terbabit.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, kerajaan telah meluluskan kerangka pembebasan semua tebusan sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia.
Konflik berpanjangan itu sebelum ini telah meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel dan mengubah landskap politik Asia Barat apabila turut menarik campur tangan beberapa negara seperti Iran, Yaman dan Lubnan.
Sementara itu, Hamas dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya telah menerima jaminan daripada Amerika Syarikat serta pihak perantara lain bahawa perang di Gaza akan ditamatkan sepenuhnya.
Menurut pegawai kanan Mesir yang terlibat dalam rundingan tersebut, tempoh awal gencatan senjata akan dilaksanakan selama 21 hari, dengan kemungkinan disambung bergantung kepada komitmen kedua-dua pihak terhadap pelan berkenaan.
Penyiar televisyen Israel melaporkan, dalam fasa pertama perjanjian itu, Hamas dijangka membebaskan kira-kira 50 tebusan termasuk wanita dan warga emas, manakala Israel akan melepaskan ratusan tahanan Palestin.
Dalam pada itu, ramai rakyat Israel dan Palestin dilaporkan menyambut berita tersebut dengan penuh kelegaan selepas lebih dua tahun perang yang menyebabkan lebih 67,000 rakyat Palestin terkorban dan kemusnahan besar di Semenanjung Gaza.
Bagaimanapun, cabaran pelaksanaan masih wujud kerana senarai tahanan Palestin yang akan dibebaskan belum dimuktamadkan, sementara pelan 20 perkara yang dicadangkan Trump termasuk soal kepimpinan Gaza selepas perang, masih dalam rundingan.
Dalam kerajaan Netanyahu sendiri, perjanjian tersebut mencetuskan perbezaan pandangan.
Beberapa menteri kanan parti berhaluan kanan dilaporkan tidak bersetuju dengan sebarang bentuk perjanjian bersama Hamas.
Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben-Gvir turut mengugut untuk menarik sokongan terhadap kerajaan sekiranya Hamas tidak dibubarkan sepenuhnya.
Walaupun begitu, ramai penganalisis melihat langkah ini sebagai titik perubahan penting ke arah menamatkan konflik yang telah menyebabkan penderitaan berpanjangan kepada rakyat Gaza dan kehilangan nyawa yang besar di kedua-dua pihak- Agensi
Sumber: Sinar Harian