Skip to main content

Viral

Kaunselor eHati Menangis Di Mahkamah, Mengaku Malu Dedah Anggota Badan - "Saya Tak Sedar..."

ehati

Sekilas

  • Seorang kaunselor eHati, Siti Zaama Rizal Boss, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana mendedahkan anggota badan dalam program motivasi sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
  • Siti Zaama mengaku bersalah dan memohon maaf, menjelaskan dia menghadapi masalah rumah tangga ketika kejadian dan hanya mampu membayar RM500 daripada denda tersebut.
  • Dua lagi kaunselor yang terlibat mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM3,000 setiap seorang, dengan kes akan disambung pada Mac tahun depan.

Seorang kaunselor eHati menangis dan mengaku malu sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Rabu, menjatuhinya denda RM4,000 kerana mendedahkan anggota badan sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina dalam satu program motivasi, September tahun lalu.

Siti Zaama Rizal Boss, 49, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Syarie, Dr Zainal Abidin Kusmin.

Mahkamah memerintahkan wanita itu dipenjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Semasa prosiding, Siti Zaama yang kini tidak bekerja memberitahu mengalami masalah rumah tangga semasa melakukan kesalahan terbabit.

“Saya malu dengan diri sendiri, rasa rendah diri dan menanggung trauma yang kuat seorang diri.

“Saya cuma nak buang rasa malu dan meningkatkan keyakinan diri kerana ketika itu, saya menghadapi masalah rumah tangga sehinggakan tidak sedar telah melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam syarie memberitahu, hanya mampu membayar RM500 memandangkan dia dan suaminya tidak bekerja.

Mengikut pertuduhan, Siti Zaama didakwa menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara mendedahkan anggota badan sehingga boleh dilihat orang lain yang dilarang oleh hukum syarak.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah dewan di pusat konvensyen di Shah Alam di sini, antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam pada 29 September 2024.

Bagi kesalahan terbabit, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pendakwa Syarie, Husaini Roslin berkata, program motivasi itu dikatakan memberi peluang kepada pasangan suami isteri memperbaiki masalah rumah tangga.

“Itu matlamat awal penganjurannya namun ia tidak menghalalkan cara malah niat baik tidak boleh disusuli dengan perkara yang bertentangan dengan agama.

“Menyentuh isu tekanan perasaan, dia sepatutnya memilih saluran yang betul dan bukannya menyertai program yang menyebabkan maruah, aib wanita dan batasan aurat tidak dijaga, meskipun sesama wanita,” katanya.

Sebelum menjatuhi hukuman, Hakim Syarie mengingatkan tertuduh agar tidak membuatkan Islam dipandang hina oleh masyarakat.

Beliau berkata, sebagai seorang muslimah, dia perlu menjadi duta kepada agama dan menunjukkan sikap yang baik sebagai teladan kepada orang bukan beragama Islam.

“Islam merupakan 'pakaian' dan cara hidup kamu malah agama yang menyelesaikan masalah penganutnya.

"Walaupun kamu mengalami masalah namun halal dan haram tidak boleh dilanggar, kerana kamu mengaibkan diri sendiri,” katanya.

Dalam prosiding sama, dua lagi kaunselor iaitu Munirah Hishamshah, 37 dan Bushra Mohd Zaki, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di lokasi serupa antara jam 2.30 hingga 6.30 petang pada 30 September 2024.

Dalam prosiding ini, Munirah diwakili Peguam Syarie, Mazli Abdul Muin sementara Peguam Syarie, Yusfa Hanis Yusoff bagi pihak Bushra.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac tahun depan.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement