Sekilas
- Sharifah Shahirah memilih pendekatan mendidik anak mengikut situasi untuk elak kesan negatif pada mental anaknya, Oddah.
- Sheira kagum dengan sikap positif Oddah yang tidak menyebar kebencian atau mengutuk orang lain di media sosial.
- Sheira tidak menghalang anaknya berkawan dengan sesiapa, tetapi menasihatkan agar berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh.
Pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah mendedahkan dia lebih memilih untuk mendidik anak- anaknya mengikut situasi dan keadaan.
Menurut Sharifah atau lebih mesra disapa Sheira, pendekatan itu dipilih kerana dia bimbang jika didikan yang terlalu tegas boleh memberi kesan kepada mental anaknya, Oddah.
“Walaupun mak saya memang jenis tegas dan kuat mengawal, saya tetap jadi diri saya seperti hari ini. Saya ikut mana yang boleh dan ikut kesesuaian keadaan.
"Cuma saya risau kalau cara saya itu memberi kesan kepada Oddah, lebih-lebih lagi sekarang dia sudah bergelar artis. Zaman sekarang pun kita dengar macam-macam isu melibatkan depresi dan kemurungan. Kadang-kadang saya bebel juga, tapi semuanya ikut situasi," katanya kepada Gempak.
Sheira berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran program Ramadan Astro 2026 pada Selasa.
Dalam masa sama, Sheira turut meluahkan rasa kagum dengan keperibadian anaknya yang tidak pernah menyebarkan kebencian terhadap orang lain di media sosial.
“Apa yang saya tahu, Oddah ini sebenarnya ada banyak kebaikan yang orang luar tak nampak. Saya lega sebab anak saya tak suka komen perkara buruk tentang orang lain di media sosial.
"Dia juga bukan jenis yang suka mengutuk cara orang berpakaian atau penampilan orang. Bila saya tengok anak orang lain suka mengutuk dan bercakap buruk tentang orang, saya tak mahu Oddah jadi begitu," ujarnya.
Bagaimanapun, Sheira menegaskan dia tidak menghalang anaknya berkawan dengan sesiapa sahaja, namun berharap Oddah tidak mudah terpengaruh dan sentiasa berhati-hati dalam memilih kawan.
"Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, walaupun dengan orang yang perangainya tak berapa baik, tapi jangan cepat terikut-ikut. Bagi saya, kalau ada rasa empati dan simpati dalam diri itu sudah memadai”
“Dalam masa yang sama, kena pandai juga jaga diri. Bila terlalu ramai kawan, kita takut ada yang mencucuk dari belakang tanpa kita sedar," nasihatnya.