Sekilas
- Hotel Tenera & Suites melaksanakan konsep ESG dalam bufet Ramadan dengan tema Serantau Desa yang menampilkan hidangan Malaysia, Thailand dan Indonesia sambil mengutamakan kelestarian dan sifar pembaziran.
- Langkah seperti penyediaan makanan berperingkat, pengurusan sisa makanan sistematik dan penggunaan bahan mesra alam diperkenalkan untuk mengurangkan pembaziran dan impak alam sekitar.
- Bufet ini turut mendapat sokongan selebriti tanah air yang membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang amalan pengambilan makanan secara sederhana dan bertanggungjawab.
Ramadan tahun ini menyaksikan pendekatan lebih bermakna di Hotel Tenera & Suites apabila pihak pengurusan mengambil langkah proaktif melaksanakan konsep Environmental, Social and Governance atau ESG dalam penganjuran bufet Ramadan mereka.
Bukan sekadar menawarkan hidangan berbuka yang menyelerakan, hotel ini tampil dengan mesej jelas tentang kelestarian dan tanggungjawab sosial, sejajar dengan nilai murni bulan Ramadan.
Menerusi tema Serantau Desa yang menampilkan cita rasa Malaysia, Thailand dan Indonesia, Hotel Tenera mengangkat prinsip sifar pembaziran sepanjang bulan mulia ini. Antara langkah yang diperkenalkan termasuk penyediaan makanan secara berperingkat, pengurusan sisa makanan yang lebih sistematik, penggunaan bahan mesra alam serta galakan kepada tetamu supaya mengambil makanan secara berhemah.
Menurut Pengurus Besar Hotel Tenera & Suites, Fadzly Hamzah, Ramadan bukan sekadar tentang juadah berbuka puasa, tetapi juga mendidik jiwa tentang kesederhanaan.
“Saya melihat banyak kelebihan atau manfaat apabila melaksanakan konsep ESG dalam bufet Ramadan kali ini.
“Antara kebaikannya adalah mengurangkan pembaziran makanan. Apabila kami membuat penyediaan makanan secara terkawal ia sebenarnya membantu mengurangkan lebihan makanan yang tidak habis, sekali gus mengelakkan pembaziran yang sering berlaku sepanjang Ramadan.
“Kaedah ini juga sebenarnya bukti pihak hotel amat menitikberatkan soal menjaga alam sekitar.
“Pengurangan sisa makanan dan penggunaan bahan mesra alam membantu mengurangkan pelepasan karbon serta bebanan tapak pelupusan sampah,” katanya.

Usaha ini turut mendapat sokongan barisan selebriti tanah air seperti Datin Alyah, Baby Shima, Zaki Yamani dan Adam AF yang hadir memeriahkan majlis bufet Ramadan pada 24 Februari lalu.
Fadzly mengakui kehadiran selebriti memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Alhamdulillah, ramai artis turut hadir meraikan bufet Ramadan kami untuk menyokong pelaksanaan ESG yang kami buat.
“Penglibatan selebriti ini penting kerana ia boleh meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih peka terhadap amalan pengambilan makanan secara sederhana dan bertanggungjawab.
“Bukan itu sahaja, menerusi sokongan artis, masyarakat lebih terbuka melihat Hotel Tenera sebagai organisasi yang bukan sahaja mementingkan keuntungan, tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan komuniti dan alam sekitar,” katanya.

Baby Shima sendiri menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan berkenaan.
“Saya rasa usaha Hotel Tenera ini sangat bagus kerana dalam bulan Ramadan, kita memang kena lebih sedar tentang pembaziran makanan.
“Kadang-kadang kita ambil lebih daripada yang mampu dihabiskan. Bila hotel sendiri ambil langkah untuk kawal dan didik pelanggan, itu sesuatu yang patut dipuji dan dicontohi.
“Pendekatan ESG yang diperkenalkan Hotel Tenera dalam bufet Ramadan tahun ini membuktikan bahawa kemeriahan berbuka puasa boleh diraikan tanpa mengorbankan kelestarian alam,” katanya.

Sementara itu, Datin Alyah menyifatkan langkah tersebut sebagai satu perubahan progresif dalam industri perhotelan.
“Saya percaya kesedaran tentang kelestarian alam perlu bermula dari semua pihak termasuk industri hospitaliti.
“Apa yang dilakukan Hotel Tenera ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar, tetapi juga mendidik masyarakat supaya lebih berhemah ketika berbuka puasa,” ujarnya.

Selain mesej kelestarian, konsep Serantau Desa, Citarasa Mendunia turut menjadi tarikan utama bufet Ramadan kali ini. Gabungan hidangan tradisional dari Malaysia, Thailand dan Indonesia membawa pengalaman ‘mengembara rasa’ dalam satu malam berbuka puasa.
Antara menu istimewa yang ditampilkan termasuk Dhalca Lutut Kambing, Gulai Kawah Raja Berangkat, Lidah Bakar, Sup Gear Box, Gulai Padang Urat Kering, Pecel Sayur, Nasi Khao Mok Kambing Panggang, Pulut Mangga, Tom Tam Merah, Som Tam, Ayam Pop dan Rendang Riau.

Menurut Ketua Cef Hotel Tenera, Chef Sahisal Azrul, setiap negara mempunyai identiti rasa tersendiri walaupun berkongsi akar budaya yang hampir sama.
“Masakan Malaysia, Thailand dan Indonesia sebenarnya berkongsi akar budaya yang hampir sama, tetapi setiap negara mempunyai identiti rasa tersendiri.
“Malaysia terkenal dengan kepelbagaian rempah dan kuah berempah, Thailand pula menitikberatkan keseimbangan rasa pedas, masam dan manis, manakala Indonesia pula kaya dengan teknik masakan berempah yang lebih pekat dan berani.
“Kelebihan konsep ini ialah tetamu boleh ‘mengembara rasa’ ke tiga negara hanya dalam satu malam berbuka puasa.
“Kami juga menitikberatkan kualiti bahan mentah dan cara penyediaan supaya rasa autentik itu benar-benar sampai kepada pelanggan,” katanya.

Gabungan konsep Serantau Desa bersama pelaksanaan ESG membuktikan bahawa kemeriahan berbuka puasa masih boleh diraikan secara bertanggungjawab tanpa mengabaikan kelestarian alam.