Sekilas
- PU Riz meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap video viral yang memaparkan individu memijak Al-Quran dan memuat naiknya di media sosial.
- Beliau menegaskan setiap agama perlu dihormati dan tindakan undang-undang sedang diambil terhadap individu terbabit.
- PU Riz menyeru semua pihak supaya menghormati sensitiviti agama, bangsa, dan institusi diraja demi keamanan dan keharmonian Malaysia.
Pendakwah bebas, PU Riz tampil menyuarakan rasa kecewa dan marah susulan penularan video memaparkan seorang individu memijak Al-Quran sebelum memuat naik perbuatan tersebut ke media sosial.
Menurut PU Riz, tindakan itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam, malah disifatkan sebagai satu penghinaan besar terhadap agama.
“Baru-baru ini ada viral ada seorang individu yang memijak Al-Quran dan ini adalah perkara yang sangat menyakitkan hati umat Islam.
“Dan orang itu bukan saja memijak Al-Quran, dia juga memuatnaik perkara yang dibuat itu di media sosial. Itu juga satu penghinaan terbesar pada satu orang yang lain dalam konteks agama.
“Kalau kalian tidak rasa marah atau geram, kalian bukan orang yang normal, jujur apa yang saya katakan,” katanya menerusi satu hantaran video di Instagram.
Dalam pada itu, PU Riz mengingatkan bahawa setiap agama mempunyai batas dan prinsip yang perlu dihormati oleh semua pihak.
“Apa yang kita diajar supaya kita tidak melanggar perimeter yang ada antara satu agama dengan agama yang lain. Jangan kamu menghina agama yang menyembah selain daripada Allah. Itu adalah prinsip dan fahaman kita. Ini satu perkara menyedihkan sebab ada individu yang sengaja," katanya.
Beliau turut mengimbas beberapa insiden lampau yang pernah mencetuskan sensitiviti agama dan bagaimana pihak terlibat tampil memohon maaf secara terbuka.
“Dalam hal ini juga apabila orang memijak Al-Quran, jiwa kita bergelora apabila melihat perbuatan itu. Tindakan telah diambil, disiasat dan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh beberapa waktu.
"Tidak ada apa-apa yang boleh menyakitkan hati seseorang melainkan dia memburuk-burukkan agama seseorang itu," tambahnya.
Mengulas lanjut, PU Riz menegaskan isu berkenaan jelas melibatkan sensitiviti 3R iaitu agama, bangsa dan institusi diraja, yang sering menjadi perkara sensitif dalam masyarakat majmuk.
“Kalau kita tengok 3R, ia telah melanggar secara jelas. Apabila sentuh agama seseorang, ia menyakitkan hati dan akan menjadi kacau-bilau. Sebagai rakyat Malaysia, saya menyeru kepada semua agama, tidaklah kita menyakiti hati bangsa atau agama lain kerana kalaulah agama kita tidak dapat hormati pada seseorang itu, apa lagi kita boleh hormat seseorang itu.
“Sebab agamalah yang membawa pendidikan akhlak, bawa seseorang tunduk dan taat perintah Allah. Agama juga menjadikan seseorang itu ‘governed by the law in the society’.
"Jadi kalau kita tidak ambil pendekatan ini untuk menstabilkan hubungan antara kita, ia akan berlarutan dan mungkin peristiwa buruk akan berlaku.
“Semoga Malaysia didoakan dalam keadaan aman damai dan semoga Allah mengangkat institusi Islam di kemuncak dan kestabilan mengamalkan agama di negara ini dikekalkan," ujarnya lagi.