Sekilas
- Busana songket rekaan Bianca Bella dipilih untuk segmen penutup Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil, mencipta detik bersejarah buat pereka fesyen dari Melaka itu.
- Rekaan busana diinspirasikan daripada pakaian tradisi Puteri Perak dengan sentuhan moden, mengambil masa hampir sebulan untuk disiapkan dan sesuai dengan pergerakan pentas TokTi.
- Bianca Bella yang mula dikenali sejak 2022 kini merancang koleksi songket moden khas untuk bakal pengantin dan berharap dapat membuka cawangan di luar Melaka suatu hari nanti.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan sekadar menandakan tiga dekad kegemilangan Biduanita Negara, tetapi turut mencipta satu detik bersejarah buat pereka fesyen dari Melaka, Bianca Bella, apabila busana songket rekaan mereka dipilih untuk digayakan pada segmen penutup konsert yang menghimpunkan lebih 65,000 penonton itu.
Segalanya bermula dengan satu mesej WhatsApp iaitu dua bulan sebelum konsert, pasukan Bianca Bella menerima khabar daripada pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak, yang meminta mereka mencari material songket, dengan warna hijau sebagai pilihan utama.
“Kami benar-benar tidak sangka. Pada saat itu, kami sedar ini bukan busana biasa, ini adalah busana untuk satu sejarah besar,” kongsi Pengasas Bersama Bianca Bella Amirul Safwan Nordin.

Dia berkata selepas pertemuan khas bersama Siti Nurhaliza dan Rozi di pejabat, proses mereka bentuk dimulakan. Rekaan tersebut adalah hasil idea bersama, dengan matlamat jelas: menampilkan kelainan berbanding persalinan terdahulu, sesuai dengan skala konsert mega di hadapan puluhan ribu penonton.
Mengulas lanjut, Amirul Safwan berkata konsep rekaan busana itu mengambil inspirasi dari pakaian tradisi Puteri Perak yang dipadakan dengan sentuhan serta elemen 'Miss World' menggunakan material songket tempatan dengan sentuhan perincian manik jahitan tangan.
"Paling penting potongan yang kami siapakan sesuai dengan pergerakan Siti Nurhaliza yang perlu bergerak dengan tarian dan aksi di pentas," katanya.
Persiapan mengambil masa hampir sebulan, dengan seluruh pasukan Bianca Bella bekerja tanpa henti sehingga ke hari konsert. Tekanan itu diakui besar, apatah lagi apabila busana tersebut dipilih untuk segmen penutup, segmen paling dinanti dan paling diingati oleh peminat.
“Ini konsert 30 tahun perjalanan seni TokTi. Persoalan ‘boleh ke kami buat?’ sentiasa bermain di fikiran. Ada malam kami langsung tak lena tidur memikirkannya,” katanya.

Namun segala kegusaran terlerai apabila persalinan songket itu menerima pujian sewaktu raptai penuh. Lebih manis, suami Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut memuji sendiri busana tersebut, menyifatkan material, rekaan dan perinciannya tampak sangat mewah dan menyerlah di atas pentas gergasi berkenaan.
Amirul Safwan menambah, kemuncak sebenar tiba pada malam konsert apabila Siti Nurhaliza menyarungkan persalinan songket hijau itu pada segmen penutup dan melakukan aksi lompat keluar ke atas pentas, satu momen spontan yang menjadi bualan hangat peminat serta tular di media sosial.
Baginya, busana tersebut bukan sahaja mengiringi detik penamat konsert, malah menjadi saksi kepada satu momen ikonik dalam sejarah kerjaya Biduanita Negara.
“Melihat rekaan kami dipakai pada detik penutup dan merakam momen itu secara langsung di hadapan puluhan ribu penonton adalah sesuatu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.
"Malah saya dan pasukan yang terdiri daripada 10 orang semuanya masih terasa bagaikan mimpi idola yang kami lihat ketika masih budak hingusan kini menyarung baju yang kami siapkan dan kami menjadi sebahagian dari episod kerjaya seni penyanyi nombor satu negara,” katanya penuh emosi.

Bianca Bella turut berkongsi satu kisah bermakna yang menggambarkan keperibadian Siti Nurhaliza di sebalik kemegahan pentas. Menurut mereka, penyanyi Menamakanmu Cinta itu sendiri pernah menawarkan untuk membawa mesin jahit dari rumah bagi memudahkan sebarang kerja alterasi pada hari konsert.
“Tak mudah seorang Biduanita Negara sanggup bawa mesin jahit sendiri ke belakang pentas. Itulah sebabnya beliau disayangi semua,” katanya yang kagum dengan siikap merendah diri Siti Nurhaliza sepanjang berkerjasama dan ia turut dikongsikan dalam hantaran Instagram story akaun Bianca Bella.
Untuk rekod, butik Bianca Bella ditubuhkan pada tahun 2022 dan beroperasi sepenuhnya di Duyung, Melaka. Nama mereka mula menjadi perhatian selepas menghasilkan persalinan merah untuk Siti Nurhaliza sempena Tahun Melawat Melaka 2024, menerusi persembahan Senandung Anak Melaka dan Kurik Kundi. Momen tersebut menjadi tular dan membuka pintu kepada pelbagai tawaran lain, termasuk busana songket untuk Konsert Legacy 30 serta beberapa video muzik.

Kini, Bianca Bella sedang merancang untuk memperkenalkan koleksi songket moden khas untuk bakal pengantin, selain koleksi RTW nikah yang masih dalam peringkat perancangan. Harapan mereka agar setiap rekaan yang dihasilkan untuk Siti Nurhaliza terus diterima baik oleh peminat, dan suatu hari nanti impian membuka cawangan di luar Melaka menjadi kenyataan.
“Kami berterima kasih kepada TokTi, Kak Rozi dan seluruh pasukan Bianca Bella. Ini bukan sekadar projek, ini adalah satu sejarah yang akan kami kenang sepanjang hidup,” katanya.
Amirul Safwan turut berkongsi pengalaman dan momen menyiapkan busana berkenaan dalam hantaran di media sosial akaun Bianca Bella yang mendapat reaksi positif daripada peminat dan pelanggan mereka.
Pada perkongsian itu, dia meluahkan rasa terharu meskipun masih menggangap diri mereka bertatih dalam industry fesyen namun kepercayaan yang diberikan Siti Nurhaliza sangat bermakna dan menjadi penghargaan besar buat jenama itu.