Selepas 55 tahun pengeluarannya berakhir, jentera lagenda yang menjadi pilihan James Bond dalam filem Goldfinger iaitu Aston Martin DB5 akhirnya dihasilkan semula dalam bilangan yang sangat terhad iaitu 25 unit sahaja.


Dianggarkan berharga £2.75 juta (RM14.7 juta), setiap unit DB5 didatangkan dalam warna Silver Birch seperti model asal dan mengambil masa kira-kira 4,500 jam untuk disiapkan di kilang penghasilan kereta klasik Aston Martin di Newport Pagnell.


Pembinaannya mengambil masa yang lama kerana setiap unit dilengkapi dengan pelbagai gajet seperti yang digunakan James Bond di dalam filem tersebut.


Ini termasuklah sepasang mesingan palsu yang tersembunyi di dalam dapra hadapan, perisai kalis peluru belakang, nozel tumpahan minyak di sebalik lampu belakang, plat nombor berpusing dan pelbagai lagi.


Di dalam, pemandu pasti akan merasakan dirinya seperti ejen 007 apabila dikelilingi gajet-gajet yang menarik seperti skrin radar pengesan, butang actuator pada tombol gear, telefon pada panel pintu, panel suis di dalam perehat tangan dan konsol tengah, tempat penyimpanan senjata di bawah tempat duduk dan alat kawalan jauh untuk pengaktifan gajet.


Seperti model asal, DB5 baharu ini dikuasakan oleh enjin aspirasi natural 4.0-liter enam silinder yang dilengkapi dengan tiga karburetor dan penyejuk minyak.


Ia menghasilkan 290hp dan dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan keluaran ZF yang menggerakkan roda belakang. Jentera ini turut dilengkapi dengan LSD mekanikal.