Nissan nampaknya menceriakan suasana menjelang sambutan Hari Natal dengan menghasilkan sebuah kereta Krismas.

Model yang diguna pakai sudah semestinya Leaf. Ia kelihatan seperti pokok Krismas bergerak dengan hiasan ribuan lampu LED pada seluruh tubuh kereta berkenaan. Hiasan lampu juga dibuat hingga ke rim kereta Leaf.

Ini bukan sekadar pencahayaan untuk menceriakan suasana, tetapi juga memaparkan bagaimana tenaga diperoleh semasa membrek sebuah kereta Nissan Leaf. Kuasa yang menghidupkan semua lampu itu dijana oleh kereta itu sendiri.

Nissan Leaf dilengkapi e-pedal, apabila pemandu tidak memijak pedal dan ini akan mengurangkan kelajuan kereta hingga ia berhenti sepenuhnya.

Sebaik sahaja pemandu mengangkat kaki daripada pedal, tenaga yang terhasil semasa membrek akan mengalir semula ke bateri berkuasa tinggi.

Paparan pencahayaan daripada kereta Krismas Leaf ini juga memaparkan kaedah sama penjanaan kuasa. Dengan pemanduan purata tahunan 18,000 kilometer, seseorang pemandu Nissan Leaf boleh jana kuasa hingga 744 kWh.

Menurut Nissan, pemandu Leaf boleh hasilkan tenaga untuk menyalakan 266 pokok Krismas dengan 700 lampu mentol, setiap satu menyala selama sejam.

Selain itu, tenaga dihasilkan boleh menghidupkan 297 ketuhar untuk memasak makan malam selama satu jam.

Sebanyak 744 televisyen juga boleh dihidupkan dengan siaran selama lima jam. Atau 10,783 rumah dengan 1,000 lampu LED yang akan bersinar selama lima jam. Itulah kuasa Leaf.