Dalam tempoh dua tahun dijual di Sri Lanka, Perodua Bezza kini menjadi sedan bawah-1.0 liter baharu yang terlaris di negara berkenaan.

Malah, setakat tujuh bulan pertama 2019, Perodua Bezza menduduki tempat teratas dalam kategori bawah 1.0 liter di Sri Lanka dari segi jualan kenderaan baharu, baik sedan mahupun hatchback.

Dilancarkan di Sri Lanka pada Jun 2017 dengan harga Rs 3.69 juta (RM86,200), Perodua Bezza sudah menemui kira-kira 1,500 pemilik di sana setakat ini, menjadikannya antara model Perodua yang mencatat jualan terpantas di negara berkenaan, bersama dengan Perodua Axia yang dijual 3,000 unit sejak 2015.

Sri Lanka adalah pasaran eksport terbesar untuk jenama Perodua. Pengedar tempatannya, Unimo Enterprises, sudah menjual lebih 15,600 kenderaan Perodua sejak 1997.



Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad
berkata, Perodua akan terus memberi sokongan kepada pengedarnya di luar Malaysia, selari dengan hasratnya untuk berkembang di rantau Asia-Pasifik.

“Kami bekerja rapat dengan Unimo dengan menyediakan latihan teknikal dan pengetahuan produk untuk kakitangan jualan dan servis mereka, supaya kami dapat memberi keyakinan penuh kepada pelanggan Sri Lanka yang kami hargai,” katanya.

Varian Bezza tunggal yang dijual di Sri Lanka dikuasai enjin 998 cc VVT-i blok aluminium yang menggunakan transmisi automatik kawalan elektronik empat-kelajuan, dengan kecekapan bahan api yang dinilai melebihi 21 km/l.

Sasaran eksport Perodua untuk 2019 adalah sebanyak 3,270 kenderaan iaitu 50 peratus lebih daripada 2,184 unit yang dieksport tahun lalu. Lebih 80,000 kenderaan Perodua sudah dijual di luar Malaysia setakat ini.