Ketika PROTON mula menyerahkan pelindung muka kepada petugas barisan hadapan perubatan pada 16 April lalu, keseluruhan proses penghasilan dan penghantaran komponen peralatan perlindungan diri (PPE) itu dijangka mengambil masa selama 20 hari.



Namun, proses itu berjaya diselesaikan lebih awal daripada yang dijadualkan di mana kini kumpulan terakhir pelindung muka terbabit akan diserahkan pada 30 April 2020.



Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON. Datuk Radzaif Mohamed berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kakitangan sukarelawan yang bersungguh-sungguh menghasilkan pelindung muka.



“Setakat jam 4 petang pada 28 April, penghantaran sudah dilakukan ke 46 hospital di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya.



Pada mulanya, PROTON hanya menghasilkan pelindung muka adalah khusus untuk petugas barisan hadapan perubatan. Namun bermula pada 4 Mei, PROTON akan mula menghasilkan 60,000 pelindung muka bagi fasa kedua untuk diedarkan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan industri perkhidmatan lain.