Selepas diperkenalkan di peringkat antarabangsa pada November tahun lalu, Toyota RAV4 versi hibrid plug-in kini dilancarkan untuk pasaran Jepun.


Walaupun ia adalah sebuah SUV dengan pacuan hibrid, model yang dikenali sebagai RAV4 PHV ini mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 306PS yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya enam saat. Ini menjadikannya setanding dengan sesetengah ‘hot hatch’ keluaran jenama Eropah.


Prestasi yang mengagumkan itu disumbangkan oleh Toyota Hybrid System II (THS II) yang merangkumi enjin petrol 2.5-liter (A25A-FXS) dan dua motor elektrik yang setiap satu diletakkan pada gandar hadapan dan belakang. Enjin terbabit menghasilkan 177PS dan 219Nm, manakala motor elektrik hadapan serta belakang masing-masing menjana 182PS/270Nm dan 54PS/121Nm.


Kuasa untuk kedua-dua motor elektrik berkenaan dibekalkan oleh pek bateri lithium-ion yang terletak di bawah lantai di tengah-tengah platform. Bateri itu membolehkan kenderaan ini dipandu dengan kuasa elektrik sejauh 95km. Bagi pemanduan hibrid, ia boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 1,300km dengan tahap penggunaan api sebanyak 22km/l.


Suhu bateri dijaga dengan menggunakan penyejuk dari sistem pendingin hawa. Menurut Toyota, langkah ini boleh mengekalkan prestasi bateri sekali gus memberikannya jangka hayat yang lebih panjang. Yang menariknya, bateri sistem hibrid ini boleh dijadikan sebagai sumber kuasa luaran dalam situasi kecemasan seperti bekalan elektrik terputus atau ketika melakukan aktiviti luar.


Selain prestasi, Toyota turut mementingkan keselesaan pemandu dan penumpang. Ini dapat dibuktikan menerusi penggunaan bahan penebat bunyi tambahan pada papan pemuka dan lantai, serta kaca kalis bunyi untuk menghalang bunyi daripada motor elektrik daripada meresap ke dalam kabin.


Bukan itu sahaja, aspek geseran dan redaman pada penyerap hentak hadapan dan belakang turut diberi perhatian bagi menghasilkan pemanduan yang lebih lancar dan selesa.


Dari segi keselamatan, RAV4 PHV hadir dengan Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri pra-pelanggaran mampu mengesan kehadiran pejalan kaki pada waktu siang dan malam, dan penunggang basikal pada waktu malam.