Sekilas
- Flat Simpang Satu tampil dengan pendekatan unik dari perspektif roh, memberikan pengalaman seram yang lebih emosional dan simbolik.
- Supertelemovie ini dirakam secara intensif dalam dua hari menggunakan teknik one-shot untuk mengekalkan realisme dan emosi cerita.
- Mengisahkan tiga penghuni flat kos rendah yang diganggu lembaga misteri, karya ini akan ditayangkan di platform Unifi pada Aidilfitri nanti.
Dunia drama seram tempatan bakal menyaksikan satu pendekatan berbeza menerusi supertelemovie Flat Simpang Satu. Tidak seperti kebanyakan naskhah seram yang lazimnya memaparkan manusia sebagai mangsa gangguan, karya ini memilih sudut pandang yang lebih unik iaitu daripada perspektif roh.
Pendekatan ini menjadikan penonton seolah-olah “melihat dunia” melalui mata mereka yang telah mati, sekali gus memberikan pengalaman penceritaan yang lebih mendalam dan emosional.
“Selalunya manusia takutkan hantu. Kali ini, hantu pula yang memerhati manusia. Pendekatan ini menjadikan penceritaan lebih emosional, simbolik dan menyentuh sisi kemanusiaan, berbanding sekadar elemen kejutan atau seram semata-mata,” kata Datuk M. Razlan Ismail selaku pengarah dan juga produser.

Menurut M. Razlan, karya ini tidak menjadikan entiti mistik sekadar alat untuk menimbulkan rasa takut, sebaliknya membuka ruang untuk penonton memahami dunia tersebut dari sisi berbeza.
“Kebiasaannya cerita seram hanya meletakkan hantu sebagai objek. Kali ini kami ceritakan dari sudut pandang hantu itu sendiri, bagaimana dia melihat dunia dan mengenali entiti lain.
“Untuk menghasilkan karya dengan jalan cerita yang baik, kita perlu berkongsi perkara yang baik kepada penonton. Disebabkan itu pemilihan pelakon begitu penting, dimana barisan artis juga perlu kuat dan sesuai dengan naskhah,” jelasnya.

Barisan pelakon pula dipilih sendiri oleh pihak produksi bagi memastikan keserasian dengan naskhah yang ingin disampaikan.
“Kami sendiri yang memilih barisan pelakon. Alhamdulillah, kami dapat barisan yang baik. Bagi kami, naskhah yang kuat perlu disokong oleh pelakon yang tepat. Pada pandangan saya pengalaman bukan satu-satunya faktor pemilihan, sebaliknya keupayaan membawa watak secara jujur dan berkesan menjadi keutamaan," katanya.

Dari sudut produksi, Flat Simpang Satu menampilkan gaya penggambaran yang ringkas tetapi intensif. Supertelemovie ini merangkumi lapan babak utama yang dirakam dalam tempoh dua hari sahaja. Teknik one-shot dan pergerakan kamera minimum digunakan bagi mengekalkan emosi dan realisme penceritaan.
“Dari sudut produksi, penggambaran dilakukan secara ringkas tetapi intensif. Keseluruhan supertelemovie ini melibatkan lapan babak utama yang dirakam dalam tempoh dua hari, menggunakan teknik one-shot dan pergerakan kamera minimum bagi mengekalkan emosi serta realisme cerita.
“Walaupun berdepan cabaran teknikal dan logistik, kru produksi kekal optimis terhadap hasil akhir. Alhamdulillah, proses penggambaran berjalan lancar. Kini kami hanya menunggu masa untuk mempersembahkan hasilnya kepada penonton.
“Dari sudut teknikal pula, kami memberi penekanan kepada perancangan rapi termasuk pergerakan kamera, kesinambungan babak serta visual. Setiap babak dirancang dengan teliti. Posisi kamera, pergerakan dan kesinambungan pelakon visual perlu konsisten supaya tidak mengganggu penceritaan,” ujarnya lagi.

Dari segi jalan cerita, Flat Simpang Satu membawa penonton menyelami kehidupan tiga individu yang menetap di sebuah flat kos rendah. Masing-masing mempunyai latar belakang dan tekanan hidup tersendiri. Namun suasana berubah drastik apabila mereka pulang ke rumah dan mendapati keseluruhan kawasan flat tersebut kosong dan sunyi tanpa penghuni lain.
Keadaan semakin meresahkan apabila mereka mula diganggu oleh satu lembaga misteri yang sentiasa mengekori dan mengacau, membuatkan ketiga-tiga watak itu terperangkap tanpa jalan keluar.
Dengan gabungan elemen seram psikologi, realiti sosial dan naratif berlapis, Flat Simpang Satu terbitan Dream At Work Sdn. Bhd. bakal menemui penonton menerusi platform Unifi pada Aidilfitri ini. Ia dijangka menjadi antara karya yang bukan sahaja menyeramkan, malah meninggalkan kesan emosi mendalam.
Supertelemovie ini turut dibintangi Datuk Aaron Aziz sebagai Samad, Aiman Hakim sebagai Farouk, Nadya Nissa sebagai Sari, Fahrin Ahmad sebagai Hadi, Kilafairy sebagai Nor, Siti Elizad sebagai Mariam dan Raja Azrey sebagai Wahad.