Skip to main content

Foodies Life

Jangan Ambil Mudah, Nampak Tompok Kulat Pada Roti, Terus Buang! Hentikan Tabiat Berfikir - “Bahagian Hijau Tu Je, Lain Boleh Makan”

Jangan makan roti berkulat

Sekilas

  • Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan agar jangan makan bahagian roti yang berkulat walaupun hanya sedikit kerana kulat mempunyai akar halus yang menjalar jauh ke dalam roti.
  • Mycotoxin dalam kulat boleh merosakkan hati dan buah pinggang, dan proses membakar roti tidak memusnahkan racun ini.
  • PHM menasihatkan untuk membuang keseluruhan roti yang berkulat bagi mengelakkan keracunan makanan dan risiko alahan pernafasan.

Tabiat memotong bahagian roti yang berkulat dan memakan selebihnya masih diamalkan oleh segelintir masyarakat.

Jangan ambil mudah kerana hakikatnya tabiat ini sangat berbahaya dan boleh menjejaskan kesihatan seluruh ahli keluarga.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Public Health Malaysia (PHM), jika ternampak walaupun satu tompok kecil kulat pada roti, diminta untuk hentikan segera tabiat memotong bahagian tersebut dan memakan selebihnya kerana itu adalah ‘racun’ yang tidak kelihatan.

“Siapa selalu buat macam ni? Nampak roti ada tompok kulat sikit, kita cubit buang bahagian tu, lepastu bakar dalam toaster kononnya kuman mati.

“Tolong berhenti tabiat ini. Anda sebenarnya sedang menyuap racun ke dalam mulut keluarga,” kongsi PHM.

Jelas PHM lagi, Kulat atau mold yang kelihatan pada permukaan roti hanyalah sebahagian kecil daripada struktur sebenar mikroorganisma tersebut.

Di bawah mikroskop, kulat mempunyai akar halus dikenali sebagai hyphae yang mampu menjalar jauh ke dalam makanan, terutama roti yang bersifat berongga.

Keadaan ini menyebabkan bahagian roti yang kelihatan bersih sebenarnya berkemungkinan telah tercemar sepenuhnya.

“Kenapa tak boleh makan bahagian yang "nampak bersih". Fakta Mikroskopik, Kulat (Mold) bukan sekadar apa yang anda nampak di permukaan.

“Itu hanyalah ‘bunga’ dia (spora). Struktur sebenar kulat mempunyai akar halus yang dipanggil ‘Hyphae’.

“Sifat roti adalah berongga (porous). Ini membolehkan akar-akar kulat ini menjalar jauh ke dalam bahagian roti yang nampak putih dan suci bersih pada mata kasar,” jelas PHM lagi.

PHM juga turut memberi tiga sebab mengapa akar kulat itu sangat berbahaya walaupun pada dasarnya tidak kelihatan di permukaan roti

1. Akar ini mengandungi Mycotoxin (racun kulat) yang boleh merosakkan hati dan buah pinggang dalam jangka masa panjang.

2. Membakar roti (toasting) TIDAK akan mematikan mycotoxin ini. Ia tahan haba.

3. Anda berisiko kena keracunan makanan atau reaksi alahan pernafasan.

Sehubungan itu, PHM juga menasihatkan orang ramai agar membuang keseluruhan roti tersebut untuk mengelakkan dari keracunan makanan.

“Jadi, kalau nampak satu tompok kecil pun pada sekeping roti, hukumnya adalah buang satu bungkusan (atau sekurang-kurangnya buang kepingan di sekelilingnya jika roti buku panjang).

“Jangan berkira sangat bab makanan. Sebungkus roti RM4 tidak berbaloi untuk ditukar dengan kos rawatan di hospital,” maklum PHM.

Sehingga kini, hantaran itu mendapat lebih 3000 perkongsian, 300 komen dan 5000 tanda suka.

Berikut merupakan perkongsian penuh PHM:

Must-Watch Video

Advertisement